PETALING JAYA: Misi Global Sumud Flotilla (GSF) adalah contoh semangat persaudaraan tanpa batas dalam membantu mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah GSF adalah misi kemanusiaan yang murni dalam membantu mereka yang kelaparan termasuk golongan warga emas, wanita serta kanak-kanak.
Seri Paduka Baginda bertitah sukarelawan-sukarelawan yang terlibat dalam GSF termasuk rakyat Malaysia sanggup menggalas risiko dan cabaran demi membawa mesej kemanusiaan ke peringkat antarabangsa.
“Mereka hanya dalam misi kemanusiaan membawa bekalan makanan, namun dihalang dan ditahan. Ini bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat.
“Pada hari ini, saya mendapatkan taklimat terkini mengenai perkembangan semasa GSF termasuk usaha-usaha yang sedang dilakukan oleh Malaysia dalam membebaskan sukarelawan kita.
“Semoga setiap usaha murni yang sedang dilakukan serta digerakkan kerajaan dalam membantu sukarelawan rakyat kita dipermudahkan dan dilindungi Allah SWT,” titah Baginda menerusi kenyataan rasmi yang disiarkan dalam Facebook rasmi, di sini hari ini.
Terdahulu, baginda berkenan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail di Istana Bukit Tunku. – UTUSAN










