Lelaki Mesir pukul, ugut isteri direman empat hari

Lelaki Mesir pukul, ugut isteri direman empat hari

SUSPEK direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini selepas disyaki memukul, mencekik dan mengugut bunuh isterinya yang juga cucu kepada seorang kerabat diraja dalam kejadian di sebuah hotel di Banda Hilir, Melaka, semalam.-UTUSAN/AMRAN ALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki warga Mesir direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini selepas disyaki memukul, mencekik dan mengugut bunuh isterinya yang juga cucu kepada seorang kerabat diraja dalam kejadian di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, semalam.

Perintah reman terhadap suspek berusia 48 tahun itu dikeluarkan Majistret, N. Sivashangari bermula hari ini hingga 8 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi selepas wanita berusia 57 tahun itu menemui kotak rokok di bawah bantal suaminya yang mengandungi tiub kaca dan bahan dipercayai dadah jenis ganja serta syabu.

“Apabila mendapati bahan itu hilang, lelaki tersebut menjadi marah dan berlaku pergaduhan antara mereka berdua. Ketika pertengkaran, suspek dikatakan menekup muka isterinya dengan bantal dan mencekik leher mangsa yang juga ahli perniagaan hartanah di Selangor,” kata sumber itu.

Tambah sumber itu lagi, suspek kemudian menjumpai bahan terlarang itu di dalam beg tangan isterinya sebelum meninggalkan hotel namun kembali semula kira-kira pukul 11.30 pagi dan menghisap ganja sambil meneguk minuman keras di hadapan mangsa.

“Tidak lama selepas itu, pertengkaran berulang dan suspek menampar pipi isterinya serta memukul perut mangsa beberapa kali.

“Lelaki berkenaan turut mengangkat wanita tersebut ke arah balkoni seolah-olah mahu menolak ke bawah sebelum mengugut akan membunuhnya,” tambah sumber itu.

Difahamkan, akibat kejadian itu, mangsa mengalami sakit pada muka, leher, perut dan tangan sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Melaka serta membuat laporan polis di Balai Polis Banda Hilir petang semalam.

Siasatan lanjut mendapati hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek menunjukkan positif ganja manakala pasangan itu difahamkan telah berkahwin sejak 10 tahun lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN