Venezuela tidak akan terjerumus dalam pergolakan sosial

Venezuela tidak akan terjerumus dalam pergolakan sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS: Presiden sementara Venezuela,Delcy Rodriguez, menegaskan negara itu tidak akan terjerumus ke dalam pergolakan sosial susulan dua gempa bumi yang mengorbankan hampir 3,000 nyawa serta menyebabkan ribuan lagi masih hilang.

Gegaran, antara bencana gempa bumi paling buruk dalam sejarah Amerika Latin itu, berlaku pada 24 Jun lalu meruntuhkan puluhan bangunan dan menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal, khususnya di kawasan pesisir pantai La Guaira di utara ibu negara, Caracas.

“Kami tidak akan berdepan pergolakan sosial. Apa yang kami saksikan ialah semangat solidariti yang tinggi dalam kalangan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis ketenteraan sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara itu.

Ramai rakyat Venezuela meluahkan kemarahan terhadap apa yang mereka anggap sebagai kegagalan kerajaan yang disokong Amerika Syarikat (AS) memberikan respons sewajarnya terhadap bencana itu sebelum ketibaan pasukan bantuan antarabangsa.

Rodriguez mempertahankan tindakan kerajaan dengan menyatakan ribuan pegawai awam dan anggota pasukan penyelamat telah digerakkan bagi membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap serta mencari mereka yang masih terselamat.

Selepas 11 hari gempa bumi berganda itu melanda, pasukan penyelamat antarabangsa kini sedang menamatkan operasi mencari mangsa yang masih hidup, manakala keluarga mangsa terus berusaha mengeluarkan mayat orang tersayang yang masih tertimbus di bawah runtuhan.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN