34 individu ditahan dalam serbuan pusat panggilan pertaruhan judi FIFA 2026

34 individu ditahan dalam serbuan pusat panggilan pertaruhan judi FIFA 2026

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah premis yang dijadikan pusat panggilan pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia 2026 serta pusat hiburan tanpa lesen di Taman Wahyu, Cheras diserbu.

Hasil serbuan pada pukul 3.30 pagi itu, seramai 34 individu termasuk 33 warga asing berjaya ditahan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata ,serbuan itu dijalankan Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hasil risikan dan pemantauan terhadap kegiatan berkenaan.

Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 28 warga China selain Myanmar (tiga orang), Korea dan Thailand masing-masing (seorang).

Turut ditahan iaitu seorang wanita tempatan dan kesemua mereka ditahan berusia antara 20 hingga 40 tahun.

“Siasatan awal mendapati premis itu digunakan untuk mengurus, menganjur dan mempromosi kegiatan perjudian dalam talian membabitkan pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2026 selain menjalankan kegiatan pusat hiburan tanpa lesen.

“Premis berkenaan dipercayai mula beroperasi sejak pertengahan Jun lepas dan waktu operasi dari 5 petang hingga 3 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata, polis turut merampas 15 telefon bimbit pelbagai jenama selain komputer riba (empat) dan pelbagai peralatan muzik yang disyaki digunakan dalam premis terbabit. 

“Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dan direman bagi siasatan lanjut bagi mengenalpasti modus operandi sebenar. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953, Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992 serta Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN