KEMAMAN: Perjalanan pulang tiga beranak selepas menikmati makan malam berakhir tragedi apabila seorang daripada maut manakala dua anak lelakinya cedera selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Kampung Cicar, Bukit Kuang, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 malam, Muhammad Zarol Che Aziz, 29, yang merupakan mekanik kilang meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua anak lelakinya, Muhammad Nuh Zaim, 2, dan Muhammad Luth Ziyad, 6, yang membonceng motosikal itu cedera di kepala dan anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, ketika kejadian, Muhammad Zarol dan dua anaknya sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Rumah Murah Awam Kos Rendah, Bukit Kuang, selepas selesai menikmati makan malam di kedai berhampiran.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Yamaha 125ZR yang ditunggang mangsa tiba-tiba memasuki laluan bertentangan menyebabkan sebuah Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 23 tahun tidak sempat mengelak kerana jarak yang terlalu dekat.
“Pelanggaran itu mengakibatkan Muhammad Zarol dan dua anaknya tercampak di atas jalan dan mengalami kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN










