Kuota pekerja asing kini di bawah Kesuma

Kuota pekerja asing kini di bawah Kesuma

R. RAMANAN bercakap dalam sidang akhbar khas di Wisma HRD Corp. di Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memindahkan pengurusan Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing (OSC) daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan strategik itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Julai lalu bagi meluluskan syor mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing Bilangan 1 Tahun 2026 yang bersidang sehari sebelum itu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, langkah itu bertujuan memastikan tadbir urus permohonan kuota pekerja asing dilaksanakan secara lebih berkesan dan telus, sekali gus memastikan rantaian operasi industri tidak terjejas.

Katanya, semua kaedah permohonan kuota secara kes demi kes dan operasi kaunter manual secara fizikal dihentikan sepenuhnya.

“Sistem permohonan kuota pekerja asing kini beralih sepenuhnya ke platform digital tunggal melalui modul eQuota dalam sistem Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS),” katanya dalam sidang akhbar khas di Wisma HRD Corp. di sini hari ini.

Ramanan berkata, ia juga menutup ruang kepada sebarang elemen campur tangan manusia ataupun cubaan menggunakan pengaruh bagi memotong barisan permohonan.

“Sistem ini sangat telus dan jelas. Tiada lagi isu kesesakan atau giliran panjang. Malah, saya, Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha (KSU) mahupun pejabat saya sendiri tidak terlibat dalam memberikan kelulusan.

“Jangan datang jumpa kami untuk ‘lajukan’ kuota kerana sistem algoritma yang akan menentukan segalanya secara adil,” katanya.

Sebagai fasa permulaan di bawah pengurusan baharu, Kesuma akan memproses sebanyak 22,476 permohonan kuota sedia ada melibatkan 548 syarikat yang sebelum ini memohon secara manual bagi mendapatkan kelulusan Seksyen 60K Akta Kerja 1955.

Ramanan turut mengingatkan para majikan agar tidak meminggirkan tenaga kerja tempatan.

Katanya, kelulusan kuota pekerja asing hanya akan dipertimbangkan sekiranya majikan gagal mendapat pengisian dari pasaran tempatan.

“Majikan diwajibkan untuk mengiklankan kekosongan jawatan terlebih dahulu melalui portal MYFutureJobs dan mematuhi Seksyen 60K Akta Kerja 1955 sebelum layak mengemukakan permohonan pekerja asing di OSC Kesuma.

“Langkah tegas ini selaras dengan sasaran nasional di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing kepada paras 10 peratus daripada jumlah tenaga kerja menjelang 2030,” katanya.

Mengenai pembahagian kuasa antara Kesuma dan KDN, Ramanan berkata, pihaknya bertanggungjawab dalam aspek keperluan guna tenaga, kemahiran dan kelayakan majikan menggaji.

Katanya, KDN kekal memegang mandat serta kuasa muktamad daripada segi aspek keselamatan negara.

“Fungsi kelulusan permit dan pas kerja masih di bawah bidang kuasa KDN.

“Sekiranya pekerja asing yang dipohon didapati mempunyai rekod jenayah lampau atau dikaitkan dengan unsur pengganas, KDN mempunyai hak mutlak untuk menolak permohonan tersebut demi menjaga keselamatan sempadan dan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN