KUALA LUMPUR: Semua pihak berkepentingan di Myanmar perlu mengetepikan kepentingan politik masing-masing dan memberi keutamaan kepada hak serta keselamatan rakyat negara itu yang terus menderita akibat konflik berlarutan sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, semua pihak perlu menghormati undang-undang antarabangsa, melindungi orang awam dan membenarkan akses kemanusiaan tanpa sebarang halangan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang amat memerlukan.
“Saya menyeru semua pihak agar mengetepikan kepentingan politik, mengutamakan hak rakyat Myanmar, menghormati undang-undang antarabangsa, melindungi orang awam dan membenarkan akses kemanusiaan tanpa halangan.
“Sudah tiba masanya untuk membuka koridor kemanusiaan, menghentikan keganasan dan meletakkan asas bagi penyelesaian politik yang menyeluruh,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Guterres berkata, situasi di Myanmar semakin membimbangkan dengan ribuan penduduk terbunuh, jutaan hilang tempat tinggal dan kampung-kampung musnah akibat serangan serta pembakaran oleh tentera.
“Tentera kini berperang dengan rakyatnya sendiri malah mereka turut merancang pilihan raya di tengah-tengah konflik. Keganasan seperti ini perlu dihentikan,” katanya.
Beliau berkata, semua pihak perlu menumpukan kepada pemulihan demokrasi, pengembalian kedaulatan undang-undang dan penghormatan terhadap hak asasi manusia.
Katanya, selain menjamin keselamatan, keadilan serta peluang saksama untuk semua rakyat Myanmar perlu diberikan termasuk masyarakat Rohingya yang sekian lama menanti keamanan.
Dalam pada itu, Guterres menyokong usaha PBB terhadap Konsensus Lima Perkara (5PC) dan mengalu-alukan kerjasama erat Utusan Khasnya, Julie Bishop dan wakil-wakil ASEAN bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar.
Katanya, PBB berbangga berdiri seiring dengan ASEAN dalam membina masa depan yang lebih aman, inklusif dan lestari untuk rantau ini serta seluruh dunia.
“Rakyat Myanmar bergantung kepada tekad bersama kita bdan kita tidak boleh mengecewakan mereka,” katanya. – UTUSAN










