Kerajaan umum semakan kadar APM dalam masa terdekat

Kerajaan umum semakan kadar APM dalam masa terdekat

KAKITANGAN Petronas menunjukkan kad Fleet Card Petronas untuk syarikat penumpang awam Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) atau Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada majlis penyerahan Fleet Card di Stesen Minyak Petronas di Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kerajaan akan mengumumkan semakan kadar Mekanisme Harga Automatik (APM) dalam masa terdekat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira rayuan berterusan pengusaha stesen minyak yang berdepan tekanan kos operasi, selain hasil sesi libat urus bersama persatuan stesen minyak dan syarikat minyak.

“KPDN telah mengemukakan cadangan semakan kepada Kementerian Kewangan dan MOF telah memberi komitmen untuk membuat semakan kadar APM.

“Fokus utama kerajaan sekarang adalah menyelesaikan isu APM bagi menjamin kelangsungan operasi stesen minyak,” katanya di majlis penyerahan Fleet Card kepada empat syarikat berdaftar di Stesen Minyak Petronas di Cyberjaya hari ini.

Armizan berkata, semakan kadar APM dijangka dapat diumumkan dalam tempoh sebulan selepas pelaksanaan penyasaran subsidi petrol, sekali gus memastikan perniagaan stesen minyak kekal mampan serta bekalan tidak terjejas.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai syarikat menyuruh pekerja mereka menggunakan kad pengenalan masing-masing untuk mengisi minyak kenderaan syarikat bagi menikmati harga subsidi RON95 sebanyak RM1.99 seliter.

“Tindakan itu tidak wajar kerana subsidi RM1.99 adalah untuk rakyat secara langsung.

“Bagi syarikat, kerajaan telah pun menyalurkan subsidi khas melalui SKPS pada kadar RM2.05 seliter, iaitu masih jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.

“Sekiranya terdapat aduan, KPDN boleh mengambil tindakan berdasarkan kerangka perundangan sedia ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN