KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan pemberian RM100 kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati program tersebut mendapat sambutan baik dan memberi manfaat besar kepada rakyat pelbagai lapisan.
“Seperti semua tahu, SARA ini bermula tahun ini dan akan diteruskan pada tahun 2026. Saya rasa Sara ini adalah program yang disenangi rakyat kerana mereka boleh membeli keperluan untuk diri dan keluarga,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan tambahan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Bebas – Kuala Kangsar) yang meminta Perdana Menteri memaklumkan status program Sara kepada rakyat Malaysia.
Perdana Menteri berkata, berdasarkan data semasa, lebih 80 peratus rakyat Malaysia telah menggunakan RM100 yang dikreditkan ke dalam MyKad bagi warganegara berusia 18 tahun ke atas sejak 31 Ogos lalu.
“Masih ada sekitar 20 peratus belum menebus, kebanyakannya daripada golongan berpendapatan tinggi. Saya harap Menteri dan Ahli Parlimen tidak ambil, biarlah wang itu disalurkan semula kepada rakyat miskin,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini, sudah 2,000 kedai kecil di kawasan kampung mendapat manfaat daripada program ini bagi menjana perniagaan masing-masing berbanding 180 kedai sebelum ini. – UTUSAN










