PETALING JAYA: Selangor FC terus merana dalam kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) apabila tunduk 2-4 kepada Lion City Sailors (LCS) dalam aksi Kumpulan G di Stadium Bishan, Singapura, hari ini.
Perlawanan yang terhenti hampir dua jam akibat hujan lebat itu menyaksikan penyerang Brazil, Anderson Lopes menjadi watak pemusnah dengan meledak empat gol buat tuan rumah.
Benteng longgar Red Giants dihukum seawal minit keenam apabila Lopes menanduk masuk gol pembukaan sebelum menambah jaringan kedua hanya enam minit kemudian.
Selangor cuba bangkit selepas permainan bersambung dengan Chrigor Moraes menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-33, namun Lopes melengkapkan hatrik sejurus sebelum rehat untuk mengembalikan kelebihan dua gol LCS.
Bersambung babak kedua, penyerang berusia 30 tahun itu terus menjadi duri dalam daging apabila menyambar hantaran Bart Ramselaar pada minit ke-54 untuk gol keempat peribadi.
Anak buah Christophe Gamel enggan menyerah kalah dan hampir merapatkan kedudukan menerusi Noor Al Rawabdeh yang rembatannya sekadar menggegar palang pada minit ke-55.
Usaha mereka akhirnya berhasil apabila Faisal Halim bijak melepasi kawalan pertahanan untuk menjaringkan gol kedua Selangor pada minit ke-73.
Bagaimanapun, kebangkitan itu sudah terlambat apabila LCS bertahan kemas hingga wisel penamat sekali gus mengungguli Kumpulan G dengan empat mata, manakala Selangor kekal di tangga tercorot tanpa sebarang kutipan. – UTUSAN