BALING: Empat buah kelas dan pejabat di Sekolah Kebangsaan (SK) Baling di sini mengalami kerosakan ekoran kebakaran membabitkan blok bangunan dua tingkat sekolah itu, pagi tadi.
Tiada mangsa terlibat dalam kejadian yang disedari orang ramai pada pukul 10.46 pagi itu ekoran cuti hujung minggu di Kedah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pejabat terbabit mengalami kemusnahan kira-kira 90 peratus manakala setiap kelas dianggarkan musnah sekitar 40 peratus.
“Seramai 22 anggota BBP Baling, BBP Sik dan BBP Pengkalan Hulu, Perak dikejarkan ke lokasi untuk mengawal kebakaran tersebut bersama empat jentera termasuk jentera bertangki.
“Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran turut membantu operasi pemadaman yang kini masih berjalan, punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN











