China luaskan premit kemasukan kepada penduduk Taiwan - Utusan Malaysia

China luaskan premit kemasukan kepada penduduk Taiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China meluaskan akses permit kemasukan bagi memudahkan penduduk Taiwan melawat tanah besar sekali gus menambah jumlah lokasi permohonan di pintu masuk negara itu, meskipun ketegangan rentas Selat masih berterusan.

Berkuat kuasa semalam, penduduk Taiwan kini boleh mendapatkan permit sekali masuk itu di 100 pusat pemeriksaan, meningkat daripada 58 sebelum ini.

Senarai baharu itu turut meliputi pintu masuk darat, udara, rel dan laut, termasuk Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Macau, Kashgar dan Khorgas di Xinjiang, serta Fuyuan di Heilongjiang.

Jurucakap Pejabat Hal Ehwal Taiwan China, Zhu Fenglian, berkata kemudahan tersebut membolehkan rakyat Taiwan memasuki negara tersebut dengan mudah dan selamat, merasai kehangatan ‘rumah’.

Menurut beliau, proses permohonan di pintu masuk hanya akan mengambil masa kira-kira 30 minit sekiranya mereka mempunyai dokumen lengkap, dan permit itu membenarkan pelawat untuk tinggal sehingga tiga bulan.

Zhu turut menegaskan China tidak meletakkan sebarang tanda pada dokumen perjalanan penduduk Taiwan dan melindungi maklumat peribadi mereka mengikut undang-undang.

Bagi pelawat kali pertama, bayaran permohonan permit dikecualikan, dan boleh menikmati akses percuma ke lebih 3,000 lokasi pelancongan di seluruh negara tembok besar itu.

Dengan ketibaan musim sejuk, penduduk Taiwan turut dialu-alukan menyertai aktiviti sukan ais, salji dan pelancongan budaya di wilayah timur laut dan barat laut, selain melawat keluarga, bersiar-siar dan mengenal pasti akar keturunan.

“Ramai rakyat Taiwan menghargai langkah pemudahan ini dan menantikan peluang melancong ke tanah besar,” katanya.

Bagaimanapun, Majlis Hal Ehwal Tanah Besar Taiwan belum memberikan maklum balas terhadap kenyataan terbaharu itu.

Pada Oktober lalu, majlis berkenaan menyatakan langkah tersebut hanya memberi sedikit tarikan kepada rakyat Taiwan dan lebih bersifat “isyarat politik”, lapor Taipei Times.

Majlis berkenaan turut memberi amaran mengenai peningkatan kes rakyat Taiwan ditahan atau hilang ketika berada di China, sambil menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap risiko keselamatan diri jika merancang untuk melancong ke sana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN