TEL AVIV: Kesatuan doktor Israel menolak penglibatan golongan perubatan di negara itu dalam pelaksanaan hukuman mati terhadap tahanan Palestin, sekali gus memperbaharui pendirian tegas mereka mengenai isu etika profesional.
Perkara itu dinyatakan oleh wakil kesatuan berkenaan ketika menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negara di Knesset pada Rabu, yang membincangkan pelaksanaan hukuman mati serta proses memuktamadkan draf undang-undang tersebut untuk bacaan kedua dan ketiga.
Wakil tersebut menekankan sebarang penglibatan mereka dalam proses pelaksanaan hukuman mati bercanggah dengan prinsip profesionalisme dan etika perubatan, sambil mengulangi pendirian tegas kesatuan itu yang menolak penyertaan doktor dalam prosedur sedemikian.
Bagaimanapun, beliau telah diarahkan keluar daripada mesyuarat selepas beberapa kali menegaskan penolakan doktor untuk terlibat dalam hukuman berkenaan, sehingga mencetuskan suasana tegang dalam dewan.
Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben Gvir, dalam sesi sama berkata beliau berharap draf undang-undang itu dapat diluluskan sebelum pilihan raya akan datang.
Draf undang-undang berkenaan merupakan sebahagian daripada perjanjian pembentukan kerajaan pada akhir 2022 bagi menubuhkan gabungan pemerintah diterajui Parti Likud pimpinan Benjamin Netanyahu bersama parti berhaluan sayap kanan Otzma Yehudit yang diketuai oleh Ben Gvir. -AGENSI










