Gaza: Malaysia komited, hantar satu batalion sekiranya diluluskan

Gaza: Malaysia komited, hantar satu batalion sekiranya diluluskan

ADLY ZAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia menghantar satu batalion bagi misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Gaza sekiranya mandat daripada Majlis Keselamatan PBB diluluskan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kesediaan itu menunjukkan komitmen Malaysia dalam memainkan peranan aktif menegakkan keamanan antarabangsa dan menyokong tanggungjawab kemanusiaan sejagat.

“Walaupun keputusan akhir terletak pada PBB, Malaysia terus mempromosi dan menyokong penubuhan pasukan pengaman ini. Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan komitmen negara kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, melalui platform ASEAN,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah).

Adly berkata, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menunjukkan minat tinggi untuk menyertai misi itu kerana ia memberi peluang berkhidmat di peringkat antarabangsa.

Katanya, kerajaan juga menekankan kebajikan anggota termasuk kesihatan dan sokongan keluarga melalui insentif yang ditetapkan PBB.

Mengenai persiapan demobilisasi Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 serta aset ATM di Lubnan, beliau berkata tugasan pasukan di bawah Pasukan Interim PBB (UNIFIL) akan diteruskan oleh MALBATT 850-13 bermula 15 November hingga 15 November 2026, manakala keseluruhan MALBATT 850 akan berundur secara berperingkat mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2027.

“Kementerian Pertahanan menubuhkan pasukan khas bagi mengurus proses pengunduran anggota dan aset ATM.

“Penilaian terperinci sedang dijalankan bagi menentukan sama ada aset seperti kenderaan perisai dan kemudahan perubatan perlu dibawa pulang atau diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan di Lubnan.

“Bagi aset strategik, ia akan dibawa pulang, manakala aset perubatan mungkin dijalin kerjasama dengan hospital tempatan bagi tujuan kemanusiaan dan kesinambungan operasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN