Forest pecat Postecoglou selepas dimalukan Chelsea

Forest pecat Postecoglou selepas dimalukan Chelsea

Pengurus Nottingham Forest, Ange Postecoglou memberi reaksi semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) antara Nottingham Forest dan Chelsea di The City Ground di Nottingham, hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Episod duka Nottingham Forest berakhir dengan pemecatan pengurus Ange Postecoglou sejurus pasukan itu tewas 0-3 kepada Chelsea di Stadium City Ground, hari ini.

Keputusan drastik itu diumumkan hanya beberapa minit selepas tamat perlawanan apabila pemilik kelab, Evangelos Marinakis dilihat meninggalkan tempat duduknya sebelum wisel penamat dibunyikan.

Dalam kenyataan rasmi di platform X, kelab itu mengesahkan Postecoglou telah digugurkan serta-merta selepas rentetan keputusan mengecewakan dalam lapan perlawanan tanpa sebarang kemenangan.

“Selepas beberapa keputusan dan prestasi yang mengecewakan, Nottingham Forest Football Club mengesahkan Ange Postecoglou telah dilepaskan daripada tugasnya serta-merta,” kata kenyataan itu.

Postecoglou yang dilantik pada 9 September lalu selepas kejayaan memenangi Liga Europa bersama Tottenham, gagal mengulangi sentuhan magisnya di Forest apabila mencatat enam kekalahan dalam lapan aksi pertama.

Kekalahan besar kepada Chelsea menjadi kemuncak derita pengendali Australia itu selepas pasukannya gagal mengekang kebangkitan The Blues di babak kedua.

Chelsea yang kehilangan beberapa tonggak utama tetap cemerlang hasil jaringan Josh Acheampong, Pedro Neto dan Reece James untuk melonjak ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris.

Postecoglou sebelum ini lantang mempertahankan dirinya dengan mendakwa setiap pasukan yang diberi masa pasti berakhir dengan saya dan satu trofi.

Namun, nasib tidak menyebelahinya kali ini apabila Forest kini memburu pengurus ketiga musim ini, dengan bekas bos Burnley dan Everton, Sean Dyche antara calon utama menggantikan tempatnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN