PETALING JAYA: Terus lantang membahaskan isu semasa, pelakon, Anzalna Nasir meluahkan kebimbangannya terhadap kes jenayah melibatkan kanak-kanak bawah umur yang kini semakin meruncing.
Dari isu buli, membawa ke kes rogol dan disusuli pula dengan jenayah membunuh, Anzalna menyifatkan situasi ini merupakan peringatan untuk golongan ibu bapa agar memberi tumpuan sepenuhnya terhadap anak-anak.
“Bila makin banyak kes di sekolah yang tidak terjangkau akal fikiran, itu sebenarnya jadi peringatan untuk kita sebagai ibu bapa.
“Walaupun kita kerja keras untuk masa depan anak-anak, tanggungjawab kita bukan setakat cari rezeki. Kita juga kena bimbing, ajar dan bentuk mereka jadi insan yang baik,” katanya di Threads.
Dalam hantaran sama, pelakon drama Dendam Aurora itu turut menasihatkan golongan ibu bapa agar tidak melepaskan tanggungjawab mereka kepada orang lain sebaliknya menjadi lebih peka terhadap emosi dan mental anak masing-masing.
“Luangkan masa, ambil tahu tentang hidup mereka dan jangan harapkan orang lain buat semua itu untuk kita.
“Semoga anak-anak kita membesar jadi anak yang soleh, solehah dan manusia yang berguna,” tegasnya.
Sejak kebelakangan ini, kes jenayah melibatkan kanak-kanak bawah umur semakin menjadi sorotan dalam kalangan masyarakat termasuklah golongan selebriti.
Malah, ada juga pihak yang menggesa agar pihak berkuasa mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pelaku meskipun jenayah tersebut dilakukan oleh kanak-kanak bawah umur.
Semalam, gempar seorang pelajar perempuan maut ditikam seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah. Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di luar bilik darjah berhampiran kawasan tandas perempuan.
Turut menjadi sorotan minggu lalu, empat pelajar selama enam hari sehingga Khamis mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol seorang pelajar perempuan secara berkumpulan secara bergilir-gilir.