Ramadan pertama tanpa suami

Ramadan pertama tanpa suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menjalani Ramadan tanpa orang-orang tersayang bukan sesuatu yang mudah. Ada kerinduan dan sebak yang muncul tiba-tiba ketika berbuka dan bersahur.

Namun di sebalik kehilangan itu, ada hikmah yang tersembunyi dan perlahan-lahan Allah tunjukkan. Kehilangan membuatkan seseorang lebih menghargai waktu dan kenangan menjadi lebih mahal.

Minggu ini Seri kongsikan kisah Reen (bukan nama sebenar), seorang isteri yang menjalani Ramadan berbeza selepas kehilangan suami tercinta kira-kira enam bulan lalu.

Menurutnya, Ramadan kali ini bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi menahan rindu yang tiada pengganti. Namun Allah tidak membiarkannya yang seumur hidup tidak pernah sendirian.

Kelima-lima anaknya, Razali, Ainur, Rina, Aisyah dan Shafiq, (bukan nama sebenar) yang telah berkeluarga sepakat untuk tidak membiarkannya sendirian.

Bermula hari pertama bapa mereka meninggal dunia pada pertengahan Ogos tahun lalu, anak-anak menyusun jadual bergilir-gilir menjaganya.

Kata Reen, walaupun suami sudah tiada, satu perkara yang tidak pernah berubah anak-anak tetap pulang berbuka bersamanya. Tradisi berkumpul di hujung minggu tetap diteruskan.

Berkongsi perasaan, katanya, Ramadan tanpa suami bukanlah mudah. Tetapi di sebalik kehilangan itu, dia mula belajar erti reda dan menerima takdir dengan hati tenang.

“Walaupun suami tiada di sisi, kasih sayang Allah dan anak-anak tidak pernah berkurangan,” ujarnya.

Mengimbau kenangan bersama arwah suami, Zainal (bukan nama sebenar), kata Reen mereka bukanlah pasangan yang sempurna. Ada hari-hari bahagia. Ada hari yang diuji.

Bukan mereka tidak pernah berselisih faham.

Ada satu fasa dalam hubungan mereka hampir retak. Suami pernah tersasar langkah apabila didapati curang dengan seorang wanita. Waktu itu hatinya benar-benar hancur.

Menyambung cerita kata Reen, ketika itu arwah suami tidak menafikan kesalahan. Memohon maaf dan berjanji tidak mengulangi.

Menurut Reen, bukan mudah untuk memaafkan. Luka di hati tidak sembuh untuk sehari dua. Namun mereka memilih untuk memperbaiki, bukan memutuskan.

Mereka masih memikirkan anak-anak yang ketika itu masih kecil. Ramadan juga menjadi titik mula mereka membina kepercayaan.

“Saya dan arwah suami belajar untuk berkomunikasi dalam keadaan tenang. Kami belajar mendengar dan masing-masing fahami hubungan bukan sahaja tentang kasih sayang tetapi tanggungjawab,” ujarnya.

Ujian itu juga mematangkan mereka. Arwah suami menjadi lebih menghargai, manakala dia pula belajar menjadi pemaaf.

Kata Reen, dia memaafkan bukan bererti melupakan perbuatan suami tetapi memberi peluang kepadanya untuk berubah.

Berkongsi cerita, ujar Reen, dia juga teringat bagaimana mereka turut diuji dengan masalah kewangan. Ketika itu anak-anak masih kecil dan hidup penuh cabaran.

Walaupun kedua-dua mereka bekerja, masalah kewangan tetap ada. Mereka perlu membesarkan kelima-lima anak dengan keperluan yang berbeza.

Perbelanjaan untuk persekolahan, pengasuh, makan pakai mereka sekeluarga.

Dalam kesempitan itu, mereka memilih untuk tetap bersama dan saling menyokong.

“Kami sama-sama berkongsi tanggungjawab dan anak-anak juga ditanamkan dengan kesederhanaan.

“Bukan mudah , tetapi setiap cabaran itu adalah pengalaman yang mematangkan, menjadikan kami saling menghargai antara satu sama lain,” ujarnya.

Kini, selepas suami tiada, kenangan itu menjadi penguat semangat.

Dia mengimbau kenangan lalu bukan niat untuk membuka aib arwah , tetapi untuk mengingatkan diri sendiri tentang erti sabar dan reda.

“Ujian curang dan kesempitan wang bukan menghancurkan hubungan, tetapi mengajar kami erti sabar, setia dan syukur.

Bukan tujuan saya untuk mengungkit kisah lalu, tetapi usaha dan taubatnya untuk berubah.

“Setiap orang pernah buat silap, tetapi tidak semua diberi peluang untuk berubah. Saya tidak nafikan, itulah sebabnya kenangan bersama arwah suami terasa lebih dalam,” ujarnya.

Mengimbas Ramadan pertama tanpa suami membuatkan setiap memori terasa hidup. Reen teringat gurauan kecil ketika mereka sama-sama menyediakan juadah.

Malah, suami menjadi orang pertama bangun sahur di samping bacaan doa yang panjang.

Reen sedar yang dirindui bukan hanya lelaki itu, tetapi seluruh perjalanan hidup yang mereka lalui selama hampir 35 tahun bersama. Selepas pemergian suami, rumah itu terasa sunyi.

Namun dalam sunyi itu, anak, menantu dan cucu-cucu menjadi penyeri. Menurut Reen, anak-anak mungkin tidak pandai memujuk dengan kata-kata panjang, tetapi kehadiran mereka sudah cukup membahagiakan.

Dalam kesedihan itu dia belajar satu perkara, suaminya mungkin telah pergi, tetapi nilai kasih sayang dan didikan yang ditinggalkan terus hidup dalam diri anak-anak.

Kisah Reen yang menyambut Ramadan tanpa suami menyimpan banyak pengajaran.

Ini termasuk kasih sayang anak-anak mampu menjadi penawar dan penguat semangat.

Kehilangan memang menyedihkan bagi seluruh keluarga Reen, tetapi mereka memilih untuk tetap bersama.

Ramadan tahun ini tidak lagi sama, tetapi tetap indah bila masing-masing belajar untuk lebih bertanggungjawab dan saling menyokong.

Walaupun tanpa sosok seorang bapa di hadapan mata, anak-anak tetap berpaut antara satu sama lagi.

Mereka kini perlu menjadi tiang kepada seorang ibu. Jika dahulu arwah bapa menyatukan anak-anak untuk berkumpul bersama-sama setiap kali Ramadan, kini mereka berusaha untuk mengekalkan tradisi itu.

“Alhamdulilah, walaupun sibuk dengan keluarga dan urusan masing-masing, mereka kini lebih sensitif pada perasaan saya.

“Setiap perhatian yang diberikan anak, menantu dan cucu-cucu menjadi penawar paling berharga saya,” ujarnya.

Kisah Reen yang menjalani Ramadan tanpa suami juga mengajar yang kebergantungan seseorang itu hanyalah kepada Allah SWT.

Anak, menantu dan cucu-cucu menjadi penguat, namun kekuatan sebenar adalah daripada Allah SWT.

Sesungguhnya Ramadan adalah bulan mulia yang penuh dengan kebaikan dan hikmah.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Pada bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan dari petunjuk, memperbezakan antara hak dan batil, maka sesiapa yang hadir di antara kamu di bulan itu hendaklah ia berpuasa,” (Al-Baqarah : 185).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN