Siasat dakwaan pemilikan saham Azam, bukan laporan Bloomberg

Siasat dakwaan pemilikan saham Azam, bukan laporan Bloomberg

NURUL IZZAH ANWAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis digesa menyiasat dakwaan pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, bukannya proses penerbitan laporan oleh agensi Bloomberg.

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, siasatan polis perlu memberi perhatian kepada kepada inti pati dakwaan yang dibangkitkan agensi berita itu, selaras prinsip ketelusan dan akauntabiliti.

“Saya juga minta supaya siasatan oleh PDRM seperti diumum fokus kepada dakwaan yang dibangkitkan oleh Bloomberg, bukan siasat penerbitan laporan tersebut. Maksudnya mudah.

“Kalau ada dakwaan, siasat dakwaan bukan tumpu kepada proses penerbitannya. Kita nak dan rakyat nak intipati dakwaan yang disiasat, bukan hanya siasat bagaimana laporan diterbitkan,” katanya menerusi kenyataan video yang dikongsi di TikTok.

Nurul Izzah berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan keyakinan awam terhadap institusi penguat kuasa dan badan pencegahan rasuah terus terpelihara.

“‘You don’t want to shoot the messenger’. Kita mahu SPRM dan semua agensi dalam negara benar-benar menjadi benteng pertahanan kita semua,” katanya.

Pada 14 Februari lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar dilaporkan berkata, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung penyiaran artikel oleh Bloomberg yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Azam.

Beliau dilaporkan berkata, siasatan sedang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman, mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kabinet turut menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan membabitkan Azam sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

Jawatankuasa siasatan itu dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Bloomberg dalam artikelnya sebelum ini, melaporkan Azam memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd atau 1.7 peratus berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Februari tahun lalu.

Perkara ini didakwa melanggar Pekeliling Kerajaan 2024 yang menyatakan penjawat awam boleh memegang saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia, dengan syarat pegangan tidak melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau RM100,000 nilai pasaran, yang mana lebih rendah.

Azam dalam kenyataan menegaskan, beliau tidak mempunyai perkara disembunyikan dan telah membuat pengisytiharan kewangan dan harta selaras peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa serta melalui saluran rasmi.

Susulan itu, Azam turut memulakan tindakan undang-undang terhadap Bloomberg dan dilaporkan menuntut ganti rugi RM100 juta susulan laporan agensi berita antarabangsa itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN