PETALING JAYA: Beberapa individu akan dipanggil polis untuk membantu siasatan dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki yang dilaporkan sebuah media antarabangsa.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail, namun tidak mendedahkan individu-individu yang akan dipanggil.
Mohd. Khalid berkata, pihaknya akan mengemukakan kertas siasatan yang dilengkapkan kepada Peguam Negara dalam masa terdekat.
“Siasatan telah dibuka dan polis sedang menjalankan siasatan. Keterangan daripada beberapa pihak berkaitan juga akan diambil.
“Perkembangan siasatan akan dimaklumkan dari masa ke masa. Pada masa sama, kertas siasatan kita akan hantar kepada pihak peguam negara dalam masa terdekat,” katanya kepada media selepas Majlis Sumbangan Yayasan Seri Negara dan Penyerahan Zakat Wakalah PBLT Sdn Bhd di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, dekat sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan siasatan dijalankan polis berhubung penyiaran laporan yang diterbitkan media antarabangsa itu yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Azam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar memaklumkan sebelum ini, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu memfitnah. – UTUSAN










