Anwar sambut Donald Trump, Gaza antara tumpuan utama

Anwar sambut Donald Trump, Gaza antara tumpuan utama

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan menyambut ketibaan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, dalam lawatan rasminya ke Malaysia, kunjungan pertama beliau sejak memegang jawatan pada Januari 2025.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, lawatan ini memberi peluang penting kepada Malaysia dan ASEAN menyampaikan pendirian bersama mengenai isu serantau dan global, khususnya situasi di Gaza, yang kini menjadi tumpuan dunia.

“Malaysia juga dijangka mengetengahkan peranan konstruktifnya dalam usaha mempromosikan keamanan dan kestabilan serantau, termasuk dalam isu Gaza, bagi mencapai penyelesaian yang adil dan mampan,” katanya.

Anwar turut mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang diadakan dalam dua sesi utama, iaitu Sesi Pleno dan Sesi Pemukiman.

Pada Sesi Pleno, para pemimpin meneliti kemajuan Komuniti ASEAN serta membincangkan langkah memperkukuh integrasi serantau, pertumbuhan ekonomi, keterhubungan dan hubungan luar, dengan penekanan kepada perpaduan ASEAN dan sistem antarabangsa berasaskan hukum.

Sesi Pemukiman menumpukan kepada pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) berhubung situasi di Myanmar serta pertukaran pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Anwar turut dijadual menghadiri beberapa mesyuarat dua hala dengan Kesatuan Eropah, Jepun, Amerika Syarikat dan PBB, serta mempengerusikan beberapa sidang kemuncak lain termasuk Sidang Kemuncak ASEAN–Jepun ke-28, Sidang Kemuncak ASEAN–India ke-22 secara maya, Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) ke-3 dan Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-13.

Antara acara kemuncak hari ini ialah majlis menandatangani Perjanjian Damai Thailand-Kemboja, yang disaksikan Perdana Menteri dan Presiden Trump.

Majlis berkenaan melambangkan kejayaan diplomasi damai ASEAN dalam menyelesaikan pertikaian secara aman, sekaligus memperkukuh peranan Malaysia sebagai pemudah cara keamanan serantau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×