Amoura ledak dua gol, Algeria sah ke Piala Dunia 2026

Amoura ledak dua gol, Algeria sah ke Piala Dunia 2026

Mohamed Amoura meledak dua gol untuk Algeria sebelum menumpaskan Somalia 3-0 pada aksi Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Miloud Hadefi, Algeria hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHANNESBURG: Mohamed Amoura meledak dua gol ketika Algeria menumpaskan Somalia 3-0 bagi mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2026 sekali gus menjadi pasukan keempat dari Afrika yang layak selepas Maghribi, Tunisia dan Mesir.

Penyerang Wolfsburg itu membuka jaringan seawal minit keenam menerusi voli cantik hasil hantaran silang Riyad Mahrez sebelum bintang sayap itu sendiri menggandakan kedudukan pada minit ke-23.

Mahrez sekali lagi menjadi pengumpan pada minit ke-57 untuk Amoura menambah jaringan ketiga sebelum kedua-dua pemain utama itu dikeluarkan oleh jurulatih, Vladimir Petkovic bagi memberi rehat.

Kemenangan itu sudah dijangka memandangkan skuad Desert Foxes menghuni tangga ke-30 dunia, jauh meninggalkan Somalia yang berada di kedudukan ke-193 dunia.

Algeria kini mengumpul 22 mata dalam Kumpulan G, empat mata di depan Uganda di tangga kedua dengan satu perlawanan berbaki, manakala Mozambique berada di tempat ketiga diikuti Guinea, Botswana dan Somalia.

Petkovic turut menyenaraikan nama Luca Zidane, anak kepada legenda Perancis Zinedine Zidane, dalam skuad kali ini selepas penjaga gol Granada itu memilih untuk mewakili Algeria berdasarkan asal usul datuknya.

“Luca masih muda dan bersemangat. Dia tahu apa makna jersi ini, dan kami gembira melihat dia mahu bantu pasukan negaranya,” kata Petkovic.

Dengan kelayakan itu, Algeria akan beraksi di pentas Piala Dunia buat kali kelima dalam sejarah, dengan pencapaian terbaik mereka ialah mara ke pusingan kedua di Brazil 2014 sebelum tewas 1-2 kepada Jerman yang muncul juara. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN