SELAMA tahun ketiga berturut-turut, alga biru-hijau beracun yang kelihatan seakan sup kacang dan berbau seperti telur busuk menutupi sebahagian besar Lough Neagh, tasik terbesar di United Kingdom (UK) dan Ireland.
Namun musim panas ini, fenomena dipanggil algae blooms itu begitu luas sehingga boleh dilihat dari angkasa lepas malah, lebih buruk berbanding tahun-tahun sebelumnya, menurut penduduk yang tinggal berhampiran mercu tanda Ireland Utara tersebut.
“Tasik ini sedang mati. Berenang di sini dengan pemandangan matahari terbit yang indah membantu saya ketika berada dalam keadaan sukar dalam hidup.
“Sekarang melihatnya dalam keadaan begini amat menyedihkan,” kata seorang perenang air terbuka, Mary O’Hagan kepada AFP di Ballyronan, di tebing barat tasik itu.
Itik-itik juga kelihatan bergelut di atas batu yang dilitupi selaput hijau pekat itu.
Pertumbuhan alga yang dipacu oleh pencemaran industri, pertanian, kumbahan, serta perubahan iklim menjejaskan aktiviti memancing dan sukan air, selain menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan bekalan air minuman.
Industri perikanan belut terbesar di Eropah yang juga beroperasi di tasik itu terpaksa menggantung aktivitinya tahun ini kerana kebimbangan kualiti.
Bau busuk yang kuat dari tasik itu turut menghalau kebanyakan pelancong sepanjang musim panas ini.
Papan tanda larangan mandi menghiasi garisan pantai sepanjang 125 kilometer tasik itu, termasuk di Ballyronan, kira-kira 54 kilometer barat ibu negara Ireland Utara, Belfast.
Baja kaya nutrien dan air buangan ternakan daripada ladang yang membekalkan syarikat besar seperti pemproses ayam Moy Park didakwa sebagai penyumbang kepada pencemaran tersebut.
Tumpahan kumbahan tidak dirawat dan sisa buangan tangki septik juga menjadi antara punca terbesar.
O’Hagan menyertai kumpulan kempen ‘Save Lough Neagh’ dan pada satu bantahan baru-baru ini, mereka mendesak kerajaan wilayah Ireland Utara bertindak lebih pantas.
“Hukum pencemar itu!” katanya, sambil menyeru diwujudkan sebuah agensi alam sekitar bebas yang mampu menghukum ladang besar dan gergasi agro makanan yang bersalah melakukan pencemaran.
Moy Park menafikan mencemarkan tasik itu dan berkata, sektor ternakan ayam adalah sangat dikawal selia dengan had ketat ditetapkan bagi kualiti air buangan di semua tapak tempatan mereka.
“Pertumbuhan alga adalah isu kompleks yang tidak boleh dikaitkan khusus dengan mana-mana sektor sahaja,” kata jurucakap syarikat itu.
Menurut pakar air buangan tempatan, Les Gornall yang digelar ‘Doktor Lumpur’, dengan kira-kira 40 peratus bekalan air minuman Ireland Utara datang dari Lough Neagh, risiko berlakunya kecemasan kesihatan mungkin memaksa pihak berkuasa bertindak lebih pantas.
“Jika Belfast tiba-tiba tidak dapat menjamin bekalan air bersih, maka akan berlaku kejatuhan harga hartanah dan pelancongan. – UT
“Mungkin prospek itu yang akhirnya akan menyentak mereka untuk memulihkan tasik ini,” katanya. – AFP UTUSAN










