QUEBEC CITY: Jaguh berbasikal lebuh raya dunia, Tadej Pogacar kembali beraksi selepas berehat 47 hari dengan misi utama mempertahankan kejuaraan dunia di Kigali, Rwanda hujung bulan ini.
Pelumba berusia 26 tahun dari Slovenia itu memilih untuk tidak menyertai Vuelta a Espana selepas menjuarai Tour de France buat kali keempat bagi memberi tumpuan penuh terhadap baki enam perlumbaan musim ini.
Beliau kembali beraksi di Kanada bagi perlumbaan Grand Prix Quebec, hari ini sebelum meneruskan cabaran di Grand Prix Montreal pada Ahad.
“Ini perlumbaan pertama saya selepas Tour, jadi saya mahu lihat bagaimana keadaan kaki saya.
“Seperti setiap tahun, memang sukar untuk berada dalam prestasi terbaik di penghujung musim, tetapi saya masih ada motivasi besar untuk baki perlumbaan yang tinggal,” kata Pogacar.
Dalam pada itu, Pogacar menegaskan sasaran utamanya adalah Kejohanan Dunia adalah termasuk acara ujian masa 21 September di mana beliau bakal mencabar juara bertahan dua kali, Remco Evenepoel.
Beliau juga mengakui memberi tumpuan tambahan terhadap latihan menggunakan basikal ujian masa sebagai persiapan menghadapi cabaran besar tersebut.
“Saya lakukan lebih banyak sesi latihan di atas basikal ujian masa berbanding kebiasaan, dan ini penting untuk beri saya keyakinan di Rwanda nanti.
“Namun dalam disiplin ini, anda perlu berada di tahap terbaik pada hari perlumbaan, dan itulah yang saya harapkan berlaku,” katanya. – AGENSI