Mangsa banjir di Sabah meningkat

Mangsa banjir di Sabah meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah terus meningkat kepada 400 orang daripada 125 keluarga pagi ini, berbanding 391 orang daripada 126 keluarga semalam.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, Penampang merekodkan seramai 247 mangsa daripada 74 keluarga, manakala Beaufort meningkat kepada 153 orang daripada 51 keluarga.

“Di Penampang, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi iaitu Kompleks Sukan Penampang menempatkan 36 orang (enam keluarga), Dewan Huguan Siau 147 orang (49 keluarga) dan Sekolah Kebangsaan St Paul Kolopis 64 orang (19 keluarga).

Semua mangsa di Beaufort pula dipindahkan ke pusat pemindahan kekal (PPK) Selagon.

“Sebanyak 22 kampung terjejas akibat banjir, iaitu 14 kampung di Penampang dan lapan di Beaufort,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, cerun di Jalan Donggongon Papar Spurs dilaporkan runtuh menyebabkan laluan Papar ke Kota Kinabalu tidak dapat dilalui sepenuhnya.

“Orang ramai diminta menggunakan laluan alternatif untuk ke Kota Kinabalu,” katanya sambil memaklumkan Jalan Papar-Kinarut-Lok Kawi boleh digunakan.

Dalam perkembangan lain, beberapa kawasan di sekitar Kota Kinabalu turut dilanda banjir kilat lewat malam tadi susulan hujan lebat berterusan sejak petang, antaranya Sembulan, Lido, Kolombong, Likas dan Manggatal.

Banjir kilat itu beransur pulih pagi ini selepas hujan berhenti, namun JPBN menasihatkan penduduk terus berwaspada berikutan keadaan cuaca yang masih mendung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN