LONDON: Juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool bersetuju dengan perjanjian untuk menandatangani Alexander Isak daripada Newcastle United sekali gus menjadi pemain termahal dalam rekod perpindahan musim ini yang bernilai kira-kira 130 juta pound (RM743 juta).
The Athletic melaporkan Isak akan menjalani ujian perubatan pada hari ini sebelum melengkapkan perjanjian selama enam tahun bersama kelab Merseyside itu.
Yuran tersebut akan mencatatkan rekod perpindahan baharu dalam EPL, mengatasi 106 juta pound (RM605 juta) yang dibayar oleh Chelsea kepada Benfica untuk Enzo Fernandez pada 2023, menurut laporan itu.
Isak, 25, menjaringkan 23 gol dalam saingan liga musim lalu, hanya di belakang bintang Liverpool, Mohamed Salah selepas membantu Newcastle layak ke Liga Juara-Juara.
Isak menjadi pembelian besar terbaharu Liverpool musim panas ini selepas mereka mendapatkan pemain tengah Jerman, Florian Wirtz dalam satu lagi perpindahan bernilai tinggi.
The Reds juga menandatangani penyerang Perancis, Hugo Ekitike dari Eintracht Frankfurt, Jeremie Frimpong dari Bayer Leverkusen dan Milos Kerkez dari Bournemouth.
Walaupun dengan kemasukan beberapa pemain berbakat, Liverpool setakat ini belum menunjukkan prestasi dominan seperti musim lalu ketika mereka merangkul kejuaraan EPL.
Namun, mereka masih berada di tangga teratas liga selepas mengutip 12 mata maksimum setelah menewaskan naib juara musim lalu, Arsenal, 1-0 di Anfield, semalam. – AFP