Kubur bertingkat ganggu aliran air?

Kubur bertingkat ganggu aliran air?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan pelaksanaan konsep kubur bertingkat perlu dirancang dan diurus dengan teliti, termasuk keperluan struktur konkrit berskala besar bagi mengelak risiko berlakunya masalah persekitaran baharu.

Antara yang perlu diberi perhatian juga adalah sistem saliran khusus, pengurusan air larut resap (leachate) dan pengudaraan yang baik.

Pensyarah Jabatan Pengurusan Pembinaan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Madya Dr. Haryati Shafii berkata, dalam konteks bandar yang sedia padat, panas dan berisiko banjir, gangguan kepada aliran air bawah tanah serta sistem saliran bandar boleh berlaku.

Ini kerana, jelasnya, struktur bawah tanah berskala besar berpotensi mengubah laluan air dan menambah beban kepada sistem perparitan sedia ada.

Selain itu, katanya, pembinaan tersebut turut berisiko menyebabkan pencemaran air larut resap yang boleh mencemarkan tanah dan sumber air di sekitarnya jika sistem binaan tidak kalis air atau berlaku kegagalan saliran.

“Peningkatan haba setempat juga perlu diberi perhatian kerana binaan konkrit menyerap dan memerangkap haba, sekali gus menyumbang kepada ketidakselesaan mikro iklim bandar. Penggunaan tenaga juga berpotensi meningkat akibat keperluan pembinaan dan penyelenggaraan lif, pencahayaan serta struktur konkrit.

“Namun, risiko-risiko ini boleh diminimumkan melalui penerapan reka bentuk hijau, sistem kalis air yang mematuhi piawaian, teknologi rawatan air resapan serta pelaksanaan penilaian kesan alam sekitar (EIA) yang ketat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan cadangan pelaksanaan konsep kubur bertingkat dilihat sebagai alternatif paling praktikal bagi kawasan bandar padat seperti Kuala Lumpur susulan kekangan tanah yang semakin serius.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Kamaldin Mohd. Damin berkata, pelbagai usaha sedang dirancang dan dilaksanakan bagi menampung ketidakcukupan tanah perkuburan, termasuk membuka kawasan baharu serta memperkenalkan konsep kubur bertingkat.

Mengulas sudut jangka panjang, Haryati yang juga Penyelidik Utama, Pembinaan Infrastruktur Mampan dan Pengurusan Alam Sekitar (CSIEM) berkata, pembukaan tanah perkuburan baharu di pinggir bandar sebenarnya lebih munasabah dan rasional dari segi kos, risiko iklim serta impak alam sekitar.

Jelasnya, keluasan tanah yang lebih besar di kawasan pinggir bandar mengurangkan tekanan terhadap pembangunan sedia ada, selain membolehkan perancangan zon penampan hijau, landskap semula jadi dan sistem saliran yang lebih berkesan.

“Dari perspektif pembangunan mampan, pendekatan ini dapat mengurangkan gangguan terhadap sistem perparitan bandar di pusat kota yang kebanyakannya sudah beroperasi pada kapasiti maksimum.

“Risiko banjir juga lebih mudah diurus kerana tanah di kawasan pinggir bandar masih mempunyai keupayaan menyerap air dengan baik serta boleh diintegrasikan dengan infrastruktur mitigasi banjir seperti kolam takungan, parit limpah dan zon resapan,” katanya.

Beliau berkata, kos penyelenggaraan di kawasan pinggir bandar berkemungkinan lebih rendah berbanding struktur kubur bertingkat yang memerlukan penggunaan tenaga, lif dan sistem teknikal secara berterusan.

“Ia lebih praktikal dan komprehensif sekiranya perancangan ini dapat diselaraskan dengan konsep perancangan bandar mampan.

“Pusat bandar seharusnya mengutamakan keperluan kritikal berimpak tinggi seperti perumahan, susun atur rangkaian pengangkutan, mobiliti serta penyediaan ruang awam hijau. Akses ahli keluarga untuk tujuan ziarah juga perlu dinilai secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN