PETALING JAYA: Public Investment Bank mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan sederhana tetapi kekal kukuh pada 4.6 peratus pada 2026, sedikit melebihi julat 4.0 peratus hingga 4.5 peratus yang diunjurkan oleh Kementerian Kewangan (MOF).
Bank pelaburan berkata, komposisi pertumbuhan kekal dipacu oleh permintaan domestik dengan penggunaan swasta dijangka terus berdaya tahan, disokong oleh keadaan pasaran buruh yang stabil, sokongan fiskal bersasar serta pemulihan beransur-ansur dalam aktiviti perkhidmatan.
Katanya, faktor perubahan yang lebih ketara menjelang separuh pertama 2026 ialah penyampaian pelaburan.
“Pasaran dijangka semakin membezakan antara saluran pelaburan yang diumumkan dan aktiviti yang benar-benar direalisasikan, dengan peralihan utama daripada kelulusan kepada fasa mobilisasi, rentak perolehan dan pelaksanaan di lapangan.
“Inflasi dijangka kekal terkawal, dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) keseluruhan diunjurkan pada 1.9 peratus tahun ke tahun pada 2026, mencerminkan normalisasi sederhana serta kesan pusingan kedua yang masih boleh diurus, selagi tiada pelarasan mendadak harga terkawal,” katanya dalam nota penyelidikan.
Dalam persekitaran pertumbuhan yang stabil dan inflasi yang terjangkar, bank pelaburan mengekalkan jangkaan asas bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sepanjang 2026.
Public Investment Bank berkata, perkembangan luaran kekal relevan kepada Malaysia, namun separuh pertama 26 lebih tertumpu kepada rejim harga berbanding arah pertumbuhan global.
“Rangka kerja risiko kini tidak lagi bersifat binari. Tarif tidak semestinya negatif secara menyeluruh dan pelonggaran dasar Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) juga tidak semestinya menyokong sepenuhnya.
“Sebaliknya, hasil pasaran semakin dipacu oleh perbezaan prestasi pertumbuhan dan inflasi antara ekonomi, kedudukan pelabur serta kepekaan terhadap hasil bon jangka panjang dan premium tempoh.
“Dalam persekitaran ini, potensi kenaikan lazimnya terhasil melalui kredibiliti dan pelaksanaan, khususnya apabila realisasi pelaburan dan pelaksanaan dasar diterjemahkan kepada aliran dan aktiviti ekonomi yang nyata,” jelasnya.
Tambahnya, risiko penurunan pula lebih berkemungkinan dicetuskan oleh episod penilaian semula pasaran berbanding kemerosotan asas ekonomi, dengan pasaran bon bertindak sebagai saluran utama yang mempengaruhi keadaan kewangan.
“Ini mengukuhkan pandangan kami bahawa pelaksanaan domestik dan kredibiliti reformasi akan menjadi pembeza utama bagi Malaysia pada separuh pertama 2026,” ujarnya. – UTUSAN










