PETALING JAYA: Amanah sebagai penjawat awam menuntut integriti, kecekapan, keberanian melakukan perubahan serta iltizam untuk sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu ditekankan ketika bertemu para kadet Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang mengikuti Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam di pejabat beliau di Putrajaya hari ini.
“Masa depan negara bergantung kepada barisan kepimpinan dan perkhidmatan awam yang berwibawa, berprinsip serta mampu mengangkat tatakelola yang baik demi Malaysia yang lebih maju, adil dan sejahtera,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. – UTUSAN










