UMNO keluar buka laluan DAP dominasi kerajaan

UMNO keluar buka laluan DAP dominasi kerajaan

ISKANDAR HASAN TAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kesan pengunduran UMNO daripada Kerajaan Perpaduan akan membuka laluan kepada dominasi lebih besar DAP dalam pentadbiran negara yang dibimbangi boleh memberikan risiko kepada kepentingan orang Melayu.

Penganalisis politik, Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah berkata, Kerajaan Perpaduan masih mampu bertahan tanpa UMNO kerana memiliki majoriti Parlimen mencukupi, namun situasi itu akan mengubah imbangan kuasa dalam kerajaan secara ketara.

“Tanpa UMNO, DAP yang kini memiliki 40 kerusi Parlimen akan muncul sebagai parti paling dominan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Ini bukan sekadar soal angka, tetapi soal hala tuju dasar, keutamaan pentadbiran dan agihan kek ekonomi negara,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Iskandar memberitahu, ketiadaan UMNO juga menyebabkan vakum kepimpinan Melayu dalam kerajaan berbanding parti Bumiputera dari Sabah dan Sarawak tidak menjadikan isu orang Melayu di Semenanjung sebagai keutamaan utama mereka.

“Parti-parti dari Sabah dan Sarawak mempunyai fokus tersendiri berkaitan kepentingan wilayah masing-masing. Maka persoalannya, jika UMNO tiada, parti manakah yang benar-benar akan mempertahankan nasib orang Melayu dalam Kerajaan Perpaduan?” soalnya.

Iskandar berkata, senario UMNO keluar kerajaan juga tidak menguntungkan parti itu kerana Parlimen tidak akan dibubarkan.

Katanya, pada masa sama UMNO tidak mempunyai laluan realistik untuk membentuk kerajaan baharu bersama Perikatan Nasional (PN).

“Gabungan parti di Sabah dan Sarawak tidak akan meninggalkan Kerajaan Perpaduan untuk membentuk kerajaan bersama UMNO dan PN yang hanya mempunyai 69 kerusi Parlimen. Akhirnya UMNO akan terpinggir di luar kerajaan,” katanya.

Iskandar menegaskan, dalam baki kira-kira dua tahun tempoh pentadbiran Kerajaan Perpaduan, UMNO perlu memainkan peranan sebagai pengimbang kuasa bagi memastikan kepentingan Melayu terus terbela dan tidak ditentukan oleh satu parti dominan sahaja.

Iskandar mengingatkan ahli-ahli UMNO agar membezakan antara kepentingan jangka pendek parti dengan perjuangan jangka panjang membela nasib bangsa.

“Antara nasib parti dan nasib bangsa, keutamaan mesti diberikan kepada bangsa. Walaupun pahit, realiti ini perlu diterima sebagai pengajaran penting menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya.

Iskandar berkata, keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini bukan soal kekuatan politik semata-mata, tetapi soal kelangsungan peranan UMNO sebagai benteng kepentingan Melayu dalam struktur kuasa negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN