Dari kampung Husam Waksa ke pasaran halal global

Dari kampung Husam Waksa ke pasaran halal global

ENGKU Isa Al Husam bersama sebahagian produk keluaran Husam Waksa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CERITA Engku Isa Al Husam, semuanya bermula pada 2015 apabila Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mahu mengurniakan bawang goreng yang dihasilkan orang kampung kepada orang kenamaan dan kerabat dalam satu majlis. Tunku Azizah menitahkan Husam untuk menyediakan buah tangan tersebut.

Bagaimanapun, penduduk kampung terbabit tidak cukup modal untuk mempersembahkan produk hasil mereka dengan kemas. Maka Husam pun mengubah suainya menjadi lebih rapi dan menarik.

“Orang kampung selalunya mereka gunakan bekas makanan yang biasa-biasa saja. Maka saya carilah bekas yang cantik sikit. Saya beli dan hias untuk disesuaikan sebagai buah tangan.

“Bila Tuanku kurniakan pada tetamu produk berkenaan, mereka suka dan tanya di mana mereka boleh beli.

“Memang tidak jual pun (dalam pasaran) dan dari situ timbul idea untuk mempromosikan produk orang kampung ke dalam pasaran komersial dan bermulalah perniagaan kami, Husam Waksa Sdn. Bhd. (Husam Waksa),” kata Husam yang merupakan pengasas syarikat berkenaan kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurutnya, pasaran pertama bawang goreng di bawah jenama Malay Cook adalah pasar raya Ben’s Independent Grocer (BIG) di cawangan pertamanya di Publika, Kuala Lumpur, setahun kemudian. Apabila TFP Retail Sdn. Bhd. mengambil alih pegangan saham dalam BIG pada 2017, pasaran produk tersebut berkembang ke rangkaian pasar raya Village Grocer Holdings (VGH) di seluruh negara.

Sebagai pengusaha perusahaan sosial, Husam cuba membawa masuk lebih banyak lagi produk usahawan kecil ke dalam pasaran tetapi usaha tersebut berdepan beberapa kekangan. Antaranya pembungkusan yang tidak menarik dan tidak sesuai untuk pasaran premium.

Selain itu, struktur harga juga menimbulkan kesukaran kerana Husam Waksa terpaksa membeli daripada pembekal dan menjualnya jauh lebih mahal berbanding pengguna yang boleh memperolehnya secara terus daripada usahawan pada harga rendah. Justeru, Husam Waksa mengambil keputusan membungkus dan menjenamakan semula produk-produk berkenaan dan membekalkannya ke pasaran.

Husam Waksa membuat pembungkusan untuk tujuh pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dari Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sarawak. Ia melibatkan tujuh buah kilang yang ada di negeri-negeri terbabit.

Dari situ, perniagaan Husam Waksa berkembang dan mula memasarkan lebih banyak produk. Produk Premium Fried Shallots (bawang goreng) adalah di bawah segmen Malay Cook.

Tujuh produk sedia dimakan dan sedia dimasak di bawah segmen So Lazy iaitu Sambal Hitam, Sambal Ikan Bilis, Sambal Kicap, Sambal Ayam Penyet, Sambal Hijau, Sambal Belacan dan terbaharu, kepingan Bawang Putih Goreng. 

“Saiz bagi produk sambal ini sengaja kita kecilkan untuk dibekalkan kepada jemaah haji bermula 2023. Kalau dalam botol susah nak bawa, dalam peket senang, koyak dan terus dimakan.

“Pengunjung pasar raya memang suka dan cari, tambah-tambah lagi pada musim cuti di mana ramai ke luar negara,” kata Husam.

Segmen Malaya Kitchen iaitu untuk bahan-bahan tradisional dalam masakan pula ada tiga produk iaitu Keropok Terengganu, Keropok Lekor dan Sirap Gula Apong.

“Sirap Gula Apong adalah projek khas bersama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) pada 2023 di mana kita mahu mengkomersialkan produk bumiputera Sarawak.

“Untuk akan datang, kita nak bekalkan belacan bakar. Produk ini belum ada dalam pasaran, yang ada belacan mentah.

“Mungkin juga budu pada suatu hari nanti. Kedua-dua produk ini di bawah segmen Malaya Kitchen,” jelasnya.

Pada 2024 juga, Husam menstruktur semula Husam Waksa menjadi Husam Waksa Retail Group Sdn. Bhd. yang mana beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan. Pada tahun sama juga, syarikat berkenaan memperoleh sijil Halal Malaysia daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dengan adanya sijil halal, Husam Waksa semakin berkembang dan menembusi pasar raya besar, hotel dan restoran lain yang mempunyai rangkaian di seluruh negara. Antaranya The Food Merchant, Qra, Bila-Bila Mart, Plan B dan Serai.

Selain pasaran tempatan, Husam Waksa juga mengeksport ke United Kingdom, Belanda, Arab Saudi dan Iraq. Pasaran utama eksport adalah Kedai Asia di Jeddah.

Ditanya mengenai perancangan akan datang, Husam berkata, beliau menetapkan sasaran pendapatan RM1 juta pertama pada 2026. Sehubungan itu, Husam Waksa perlu memperoleh hasil pendapatan sebanyak RM100,000 sebulan berbanding RM30,000 hingga RM50,000 sekarang.

“Sekarang produk-produk kita ada di 48 cawangan dan rangkaian. Kita sasar mahu masuk 200 buah lagi,” katanya mengakhiri pertemuan.

Sumbangan Husam dalam bidang keusahawanan sosial telah diiktiraf pada 2015 apabila menerima Anugerah Perdana Menteri daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di bawah kategori Usahawan Sosial. Seterusnya beliau menerima Anugerah Pengeksport pada 2018 daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) atas usaha mempromosikan produk perusahaan IKS ke peringkat antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN