TAWAU: Kerajaan akan meneliti mekanisme baharu bagi membendung isu tuntutan bertindih dan salah guna MyKad dalam pelaksanaan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu perlu diberikan perhatian sekiranya ada penyalahgunaan MyKad milik individu lain termasuk cara yang terbaik untuk menguruskannya.
“Kadangkala apa yang berlaku ialah situasi di mana seorang ibu menggunakan MyKad anak atau pasangan suami isteri menebus barangan menggunakan satu MyKad yang sama.
“Kebiasaannya arahan kepada juruwang adalah untuk mengesahkan individu dan MyKad yang diberi adalah orang yang sama sebelum transaksi dibuat,” katanya selepas meninjau pelaksanaan Program SARA di Supermarket Gemilang, Jalan Kuhara, Taman Sejati, di sini hari ini.
Baru-baru ini seorang pengadu membuat aduan mengenai bantuan SARA RM100 miliknya telah ditebus orang lain di sebuah pasar raya di Semporna pada 5 September lalu.
Menurut gambar yang diperolehi daripada kamera sekuriti di pasar raya berkenaan, individu yang terlibat adalah seorang wanita dengan jumlah pembeliannya sebanyak RM98.65.
Bagaimanapun, pemilik Mykad terbabit memberitahu dia tidak pernah kehilangan kad pengenalan atau meminjamkannya kepada sesiapa pun.
Pemilik Mykad telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut dan turut minta bantuan orang ramai menghubunginya di talian 0198481573 jika mempunyai maklumat mengenai wanita berkenaan.
Dalam pada itu, Fahmi menambah, pihaknya akan meneliti perkara tersebut dengan kerjasama pihak Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri bagi memastikan pelaksanaan lebih ketat dan adil.
Menurut Fahmi, perkara itu akan dibincangkan secara teliti dalam Mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan, selain isu lain seperti kekurangan stok barangan asas tertentu.
Mengenai lawatan beliau di pasar raya tersebut, Fahmi berkata, pihaknya mendapati wujud permintaan tinggi terhadap barangan seperti beras menyebabkan stok keperluan makanan itu habis dalam tempoh singkat.
“Ada beras yang masih ada, tetapi bukan beras tempatan. Saya akan maklumkan perkara ini kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) supaya langkah penambahan bekalan dapat diusahakan,” katanya. – UTUSAN







