PETALING JAYA: Kelantan mencatatkan jumlah keahlian Parti Amanah Negara (Amanah) paling ramai di seluruh negara dan diikuti oleh Selangor.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkembangan itu membuktikan keyakinan rakyat terhadap perjuangan parti berkenaan semakin meningkat.
“Ia menjadi suntikan semangat untuk kita (Amanah) terus bergerak ke hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Mohamad, hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan di Kelantan juga berada dalam keadaan cukup serasi.
Beliau yakin kerjasama itu memberi kekuatan kepada Amanah bersama rakan gabungannya untuk melakukan sesuatu yang besar demi kepentingan rakyat negeri tersebut.
“Politik Kelantan memang unik, silih berganti parti yang memerintah,” katanya. – UTUSAN










