BATU PAHAT: Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Mohamad Sabu yakin bahawa gabungan politik itu yang akan membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, PH akan memenangi dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata, manifesto PH juga bukan seperti didakwa pihak lawan bahawa ia adalah copy and paste daripada Barisan Nasional (BN).
“Manifesto sesiapa sahaja boleh tulis macam-macam. Tengok nak bagi berjalan atau tidak manifesto itu, bagilah kita memerintah, itu sahaja caranya.
“ Kalau kita tidak memerintah kerajaan negeri maka kita tidak boleh buat apa-apa. Tetapi saya yakin, insya-Allah pada 12 Julai ini kita boleh bentuk kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas Program Sembang Santai di Rengit, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, masyarakat Melayu kini cenderung untuk mengundi PH.
Katanya, perkara itu hasil pemerhatiannya selepas seminggu kempen berlangsung.
“Kita nampak masyarakat Melayu terutama sekali mula cenderung, saya nampaklah, untuk mengundi PH,” katanya. – UTUSAN









