PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan tindakan Pas yang memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetapi masih enggan melepaskan jawatan dalam Perikatan Nasional (PN) sebagai satu penghinaan terhadap rakyat.
Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, keputusan tersebut merupakan penghinaan terbuka terhadap intelek dan kematangan rakyat Malaysia.
Katanya, situasi itu ibarat pasangan suami isteri yang sudah melafazkan talak, namun masih mahu tinggal serumah dan berebut kain selimut.
“Di atas kertas mereka mengisytiharkan perceraian, namun masih tinggal sebumbung dan kekal bersekedudukan semata mata kerana sayang dan berebut gilakan harta sepencarian iaitu jawatan, kuasa dan pengaruh pentadbiran,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Mahfuz berkata, keadaan itu memperlihatkan taktik politik oportunis dan mendakwa rakyat melihatnya sebagai satu bentuk penipuan kosmetik.
“Jika benar Pas merasakan Bersatu tidak lagi relevan demi ‘penyatuan ummah’, mereka sepatutnya keluar dari PN secara terhormat.
“Keengganan meletak jawatan pengerusi dan mengosongkan struktur PN membuktikan bahawa ‘prinsip perjuangan’ sentiasa tunduk di bawah ‘kepentingan survival poket politik,” katanya.
Beliau turut mendakwa Pas memperbodohkan ahli akar umbi dengan menggunakan retorik agama serta hujah maslahah sebagai benteng untuk menghalang ahli bawahan daripada mempersoalkan tindakan pimpinan.
“Rakyat marhaen sudah letih melihat nama Islam diperalatkan untuk menghalalkan strategi politik yang tidak berintegriti,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, Pas dilihat cuba memaksa Bersatu mengambil langkah untuk menyingkirkan mereka daripada PN, yang disifatkannya sebagai amalan politik kebudak-budakan dan tidak profesional.
Tambahnya, para pemimpin politik terbabit sedang sibuk bermain ‘wayang’ bagi memastikan kedudukan mereka terus selamat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), ketika rakyat masih bergelut dengan peningkatan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi.
“Cukuplah memperbodohkan rakyat. Kami mendesak semua parti politik untuk menghentikan drama ‘perkahwinan plastik’ ini.
“Sekiranya sudah tidak sehaluan, berpisahlah sebagai jantan dan bermaruah. Jangan heret masa depan negara dan rakyat ke dalam bilik tidur politik yang penuh dengan kepura-puraan,” katanya. – UTUSAN










