Biasalah orang tua, jalan perlahan sebab kaki sakit. Ini antara keluhan yang selalu kita dengar. Apabila usia semakin meningkat ke angka 60-an, ramai warga emas mula mengalami letih-letih kaki dan sakit kaki termasuklah kaki bengkak serta warna kulit kaki juga mula berubah.
Bagaimanapun, perubahan ini tidak boleh dianggap sebahagian daripada proses penuaan tetapi sebaliknya, ia mungkin menjadi simptom yang memerlukan perhatian seperti Insufisiensi Vena Kronik (CVI).
CVI boleh menyebabkan salur darah vena di kaki tidak berfungsi dengan baik seterusnya boleh mengakibatkan lebih daripada sekadar ketidakselesaan. Sekiranya ia tidak dirawat, komplikasinya boleh menjadi lebih serius.
Pakar Bedah Am dan Vaskular Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC), Dr. Syaiful Azzam Sopandi berkata, CVI berlaku apabila injap dalam salur darah vena di kaki menjadi lemah atau rosak.

“Injap ini berfungsi memastikan darah mengalir ke jantung. Apabila ia tidak berfungsi dengan baik, darah akan berkumpul di bahagian bawah anggota badan, meningkatkan tekanan dan menyebabkan kerosakan pada tisu sekeliling.
“Bayangkan vena seperti tiub getah dengan pintu sehala. Apabila kita berusia, pintu itu tidak menutup sepenuhnya dan dinding tiub mula meregang. Darah akan terkumpul di kaki, menyebabkan bengkak seterusnya berlaku perubahan warna kulit dan akhirnya, menjadi ulser,” katanya.
Dr. Syaiful berkata, apabila keadaan ini berterusan, tekanan vena akan meningkat dan keadaan ini dikenali sebagai hipertensi vena atau tekanan darah tinggi vena.
Pada peringkat awal, ia menyebabkan urat melepaskan cecair ke tisu sekitarnya, mengakibatkan bengkak.
Apabila keadaan lebih serius, vena akan mula membocorkan sel darah merah dan sel darah putih. Apabila sel darah merah pecah, zat besi yang terperangkap dalam tisu, menyebabkan perubahan warna gelap pada kulit. Inilah punca sesetengah pesakit melihat perubahan warna kecoklatan pada bahagian bawah kaki.
“Walaupun serius, CVI sering tidak dikesan dalam kalangan warga emas. Secara global, penyakit vena kronik (CVD) menjejaskan kira-kira 20 hingga 40 peratus populasi dewasa dan meningkat seiring usia.
“Di Malaysia, satu kajian pada 2021 di bawah Program Perunding Urat Malaysia mendapati, lebih 30 peratus rakyat berusia 50 tahun ke atas menunjukkan tanda-tanda CVD,” katanya.
Dr. Syaiful berkata, dengan peningkatan populasi warga tua di Malaysia, masalah berkaitan vena akan menjadi lebih tinggi dan tidak boleh dianggap sebagai proses penuaan dan pesakit tidak boleh menangguhkan rawatan kerana takut ke hospital atau mempercayai tiada rawatan boleh membantu mereka.
“Terdapat kes di mana seorang wanita berumur 60 tahun yang menghidap ulser kaki kronik selama enam bulan. Dia merawat luka itu di rumah dengan bantuan keluarganya, tanpa menyedari bahawa penyakit vena itu boleh dirawat.
“Pemeriksaan ultrabunyi menunjukkan dia mengalami CVI dua hala dengan refluks vena yang ketara dan kerosakan kulit. Selepas menjalani rawatan laser secara invasif minimum, luka ulsernya sembuh sepenuhnya dalam tempoh sebulan,” katanya.
Gejala yang tidak boleh diabaikan
Gelaja awal CVI biasanya muncul secara beransur-ansur. Antaranya, sakit kaki yang teruk apabila berdiri atau berjalan, bengkak sekitar pergelangan kaki dan kelihatan vena varikos. Kulit di bahagian bawah kaki mungkin menjadi gelap atau terasa tegang dan gatal. Dalam kes lebih kronik, ulser terbentuk, biasanya di sekitar pergelangan kaki.
“Apabila kita semakin tua, struktur vena juga berubah. Injap yang sebelum ini tertutup dengan rapat mungkin mula bocor. Dinding vena yang dahulunya elastik, menjadi kaku. Otot betis yang membantu mengepam darah ke jantung pula kehilangan kekuatan akibat kurangnya aktiviti fizikal. Gabungan faktor ini menyebabkan aliran darah perlahan dan meningkatkan risiko komplikasi berkaitan vena,” katanya.
Rawatan ikut kesesuaian
Apabila seorang pesakit datang dengan kaki bengkak, sakit atau mengalami perubahan pada kulit, langkah pertama adalah menjalani imbasan ultrabunyi (USG) yang cepat dan tidak menyakitkan.
Ia adalah cara selamat dan tidak invasif untuk menilai aliran darah serta fungsi injap secara langsung dan memberikan gambaran yang jelas mengenai apa yang sedang berlaku.
Sebaik sahaja didiagnosis, rawatan vena moden menawarkan pelbagai pilihan invasif minimum yang juga sesuai untuk pesakit berusia. Pendekatan biasa digunakan adalah terapi ablation endovenous, yang mempunyai dua bentuk utama.
“Ablasi termal menggunakan haba, sama ada melalui tenaga laser atau radiofrekuensi untuk menutup vena yang bermasalah. Kaedah bukan termal pula termasuk penggunaan gam perubatan khas, ablasi mekanikal dan skleroterapi iaitu prosedur menyuntik larutan kimia ke dalam vena.
“Prosedur ini biasanya dilakukan di bawah bius setempat. Tempoh pemulihan adalah cepat dengan gangguan minimum terhadap rutin harian. Kebanyakan pesakit boleh berjalan masuk dan pulang pada hari sama, serta kembali ke rutin normal tidak lama selepas itu,”katanya.
Membongkar Mitos
Walaupun rawatan semakin maju, mitos dan maklumat yang salah masih menyebabkan punca pesakit lewat mendapatkan rawatan. Salah satu kepercayaan adalah urat varikos hanyalah masalah kosmetik. Hakikatnya, ia boleh menandakan kepada penyakit lain.
Mitos lain yang sering didengar adalah warga emas terlalu lemah untuk menjalani pembedahan atau pembuangan vena akan menjejaskan aliran darah namun hakikatnya, umur bukan halangan.
“Rawatan disesuaikan mengikut keadaan dan keperluan pesakit. Tidak membuang atau menutup vena yang bermasalah tidak akan menjejaskan peredaran darah, vena lain akan mengambil alih.
“Pesakit dinasihatkan supaya tidak hanya bergantung kepada stoking mampatan. Walaupun ia membantu mengurangkan simptom, ia tidak menyelesaikan punca sebenar masalah. Penyakit CVI cenderung bertambah teruk dari semasa ke semasa. Ini kerana penyakit vena bersifat progresif. Semakin awal ia dikesan, semakin mudah ia dapat dikawal,” katanya.
Penjagaan Kesihatan Vena di Rumah
Dr. Syaiful mengesyorkan berjalan secara berkala untuk menguatkan otot betis, mengangkat kaki beberapa kali sehari bagi mengurangkan bengkak dan mengelakkan duduk atau berdiri terlalu lama.
Selain itu, memakai stoking mampatan pada waktu pagi, mengekalkan berat badan yang sihat, mengambil diet tinggi serat serta mengelakkan pakaian ketat yang menyekat peredaran darah juga boleh memberi kesan yang positif.
Dengan peningkatan jumlah warga emas di Malaysia, kesedaran mengenai penyakit vena perlu dipertingkatkan.
Sakit kaki tidak semestinya tanda penuaan. Diagnosis yang tepat dan rawatan segera, warga emas boleh menikmati pergerakan yang lebih baik, kesakitan berkurangan dan kualiti hidup yang lebih baik. – UTUSAN










