JPN Sabah hukum gantung sekolah murid terlibat buli

JPN Sabah hukum gantung sekolah murid terlibat buli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) mengambil tindakan tegas dengan menggantung persekolahan beberapa murid terbabit dalam kes buli di sebuah sekolah baru-baru ini.

JPNS dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil perhatian serius kejadian salah laku buli yang berlaku di sebuah sekolah di Sabah baru-baru ini.

Katanya, pihak sekolah telah mengambil tindakan serta-merta berdasar kepada peraturan-peraturan disiplin yang sedang berkuat kuasa.

“Hukuman gantung sekolah telah dikenakan kepada murid yang terlibat. Di samping itu, murid terlibat juga telah dirujuk kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling untuk tujuan intervensi.

“JPNS tidak berkompromi dengan salah laku buli dan akan sentiasa memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid-murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara,” katanya hari ini.

Semalam media melaporkan, seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua di sebuah sekolah di Limauan, dekat Kinarut cedera ditendang senior dipercayai kerana lambat masuk ke bilik asrama.

Kejadian berlaku pada malam 7 September lalu, sebelum ibu pelajar terbabit, 42, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar pada 9 September lalu, disusuli laporan kedua di IPD Kota Kinabalu.

Peguam mewakili ibu mangsa, Nurshalilah Fauzan Mailin berkata, kejadian dipercayai berunsur buli itu berlaku jam 11 malam di sekolah berkenaan.

Katanya, mangsa mendakwa ditendang pada perut, ditampar pipi dan ditumbuk hidung oleh seorang pelajar Tingkatan Empat sehingga mengakibatkan kecederaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN