Sejujurnya, aku tidak pernah tahu sejak bila kedai jam milik Pak Cik Chuah itu sudah wujud. Kedai itu berdiri di hujung blok rumah kedai lama di pekan Semenyih.
Semestinya sudah wujud lebih lama daripada diriku sendiri. Kecil saja kedainya, tapi kedai kecil itulah yang menjadi pilihan orang ramai.
Dengan papan tanda kayu yang sudah merekah dimamah hujan panas selama bertahun-tahun. Tertulis di situ, “Kedai Jam Chuah & Anak-Anak”.
Tulisan lama gaya timbul yang sedikit condong ke kiri.
Aku pula berniaga air kelapa bertentangan kedainya. Sekadar meja lipat, beberapa balang besar berisi air kelapa muda dan cawan-cawan plastik.
Setiap kali aku nampak papan tanda itu, ia membuatkan aku tertanya-tanya. Siapakah “anak-anak” itu sebenarnya?
Kata orang, Pak Cik Chuah memang punya anak. Bukan seorang, malah tiga orang. Semuanya lelaki. Kata orang juga, semuanya sudah ‘jadi orang besar’.
Seorang khabarnya graduan universiti ternama di tanah Britain sana. Anak bongsunya pula kata mereka mengaji kejuruteraan mekanikal di Tokyo, Jepun.
Namun yang paling dibualkan masyarakat yang selalu makan tengah hari di Warung Wak Darman ialah anak sulungnya. Sebab kata mereka, anaknya itu sudah gugurkan nama ‘Chuah’ dan sudah menjadi warganegara bumi kangaroo. Sedih juga apabila difikirkan semula.
“Malu agaknya ayahnya cuma tukang jam,” kata Pak Mat penjual baja yang berkopiah lusuh sambil menghirup kopi O suam.
“Dulu elok saja anak itu duduk sini. Lepas dapat kerja di luar negara terus lupa asal-usul,” balas Pak Deris sambil menghidupkan api rokok di bibirnya. Aku tidak tahu sejauh mana kebenaran cerita mereka itu. Namun aku hanya mampu memasang telinga tatkala aku makan nasi campur di warung itu.
Setiap kali diri ini masuk ke dalam kedai jam milik Pak Cik Chuah, akan aku dengar bunyi derit engsel yang berat. Kedai itu kecil, dingin tanpa penyaman udara dan penuh dengan detikan jam yang tidak seragam. Di dinding, ada pelbagai jam berupa bentuk menghuni setiap inci ruang. Ada jam antik era kolonial. Ada jam ranggi berwarna neon. Malah ada juga beberapa jam poket separa berkarat tergantung di dinding umpama pingat pahlawan perang.
Sebalik kaunter kayu berbalut kaca itu, di kerusi kecil yang entah sudah berapa kali berganti kusyen, duduklah Pak Cik Chuah.
Pak Cik Chuah satu-satunya tukang jam yang mengenakan cas yang paling murah di pekan ini. Di saat ramai orang mengenakan caj yang melambung tinggi, Pak Cik Chuah kekal dengan harga yang rendah. Malah terlalu murah.
Bayangkan, untuk menukar tali jam tangan besi yang di tempat lain mungkin mencecah RM20 atau lebih, beliau hanya mengenakan caj RM3 sahaja. Dan itu pun disampaikan dengan nada berseloroh oleh Pak Cik Chuah sendiri. Seolah-olah dia sendiri tidak selesa meminta bayaran.
Tali jam yang digunakan bukan pula sebarangan. Besinya kukuh dan terletak kemas pada pergelangan tangan.
Dia pasti akan menjawab, “Ah, bukan susah pun. Saya tukar dalam lima minit saja. RM3 sudah cukup mah.”
Pelanggan yang pertama kali ke situ pasti akan bingung. Bukan kerana servis yang lambat, sebaliknya disebabkan murah yang tidak masuk akal dalam ekonomi hari ini.
Dalam kalangan orang tempatan, mereka menggelarkan lelaki tua itu,”Pak Cik Chuah tukang rugi.” Sebabnya, tidak nampak untung yang timbul semasa menjadi tukang jam.
Lelaki tua itu kelihatan seolah tidak terjejas dek ekonomi semasa yang perlukan wang ringgit untuk terus makan dan hidup seharian.
Ramai orang kenal rupa paras Pak Cik Chuah. Lelaki tua itu botak di tengah dan beruban di tepi. Cermin matanya sentiasa bertenggek di hujung hidung. Tampak sentiasa longgar. Mungkin kerana dia selesa begitu.
Tangannya sentiasa cekap. Pak Cik Chuah juga hafal setiap era penghasilan jam.
“Jam ni umurnya sudah 50 tahun,” katanya tanpa aku bertanya, sambil mengangkat seutas jam tangan kulit yang sudah pecah.
Ketika itu aku saja duduk bersama dengannya di kedainya. Maklumlah, gerai air kelapa aku di hadapan kedai jamnya sahaja.
“Saya buka kedai ini, sewaktu anak sulung saya baru empat tahun. Sekarang, entah ke mana Eric itu pergi,” tiba-tiba Pak Cik Chuah membuka cerita tentang anak sulungnya. Rindu agaknya.
Nada suaranya hambar. Apa yang aku dapat faham, Eric itu nama anak sulungnya.
Aku lihat rak di belakangnya, penuh dengan jam yang sedang menunggu giliran untuk dibuka dan dibaiki. Di satu sudut dinding, tergantung bingkai gambar keluarga Pak Cik Chuah. Mungkin gambar itu diambil pada tahun 80-an. Gambar mendiang isterinya dan anak-anaknya masa kecil pun ada.
“Anak-anak tak balik?” tanya aku spontan sambil mata melirik ke gambar itu.
“Bukan tak balik,” katanya, tersenyum nipis. “Cuma masa tak mengizinkan. Mereka sibuk. Jauh mah!”
Aku tidak berani menyambung. Jam dinding di atas kepala kami berbunyi seperti sedang ketawakan perbualan kami.
Beberapa hari kemudian, usai solat Zuhur di masjid, aku kembali membuka gerai air kelapa kecilku seperti biasa.
Ketika aku sedang mengikat plastik ais untuk bekalan petang, suara yang aku sangat kenal menyapaku dari seberang jalan.
“Kassim, saya mahu beli semua air kelapa hari ini,” ujar Pak Cik Chuah, sambil meraba poket belakang seluarnya dan menarik keluar dompetnya yang lusuh.
Aku terkejut. “Semua, pak cik? Banyak ni. Takkan pak cik nak minum semua? Atau macam biasa?”
Dia ketawa kecil. Dan seperti biasa, cermin matanya bertenggek di hujung hidung.
“Takkanlah saya nak minum semua, Kassim. Macam biasa mah. Nanti kamu bungkuskan elok-elok dalam cawan plastik. Tolong sedekahkan semua di masjid sana. Bagi selepas solat Asar. Kalau mereka tanya, cakap saja daripada seorang hamba Tuhan.”
Itu bukan kali pertama Pak Cik Chuah berbuat sedemikian. Aku rasa sebulan sekali. Tanpa gagal, dia akan membeli kesemua air kelapa yang aku jual dan menyuruh aku sedekahkan ke masjid.
Ada waktu dan ketika aku tertanya-tanya. Apa maksud semua ini, lebih-lebih lagi bila aku tahu dia bukanlah orang berada sangat. Atau cuma aku sendiri yang tidak tahu.
Namun pada suatu petang, aku kumpulkan keberanian untuk bertanya. Ketika itu, kebetulan kami berdua duduk berdua di pangkin kaki lima.
Matahari pun hampir rebah. Air kelapa pun sudah habis aku jual. Pak Cik Chuah pun tidak lama lagi ketika itu hendak menutup kedainya.
“Pak Cik Chuah,” kataku, “Kenapa pak cik buat macam itu? Selalu bersedekah hampir setiap bulan. Nanti duit simpanan pak cik habis macam mana?” Dia diam lama seperti menyusun jawapan yang sesuai.
Akhirnya, lelaki tua itu pun menjawab, “Kassim, pepatah Cina ada kata, sesaat masa ibarat segenggam emas, namun segenggam emas takkan mampu membeli sesaat masa. Anak-anak saya pun
sudah besar, Kassim. Ada yang jauh, ada yang mungkin dah tak anggap saya wujud. Saya pun tak pasti. Tapi saya tahu satu benda. Saya masih ada masa. Biarpun sedikit.”
Dia menoleh ke arah jalan yang lengang. Matanya sayu.
“Biarpun saya tak dapat belanja untuk anak cucu sendiri. Tapi kalau saya belanja untuk orang sekeliling, dapat juga merasa perasaan dihargai itu bagaimana.”
Aku terkedu. Kata-katanya seperti tombak yang menusuk kalbuku. Mata ini memandang lelaki Cina itu lama-lama. Entah kenapa, soalan yang selama ini aku pendam terluah juga.
“Pak cik tak rasa ralat ke? Belanja kasar macam itu. Semua simpanan pak cik, habis untuk orang. Sedekah kepada orang dan beri saya duit yang banyak. Cas servis jam pun murah sangat pak cik
kenakan. Kalau pak cik letak harga sikit tinggi pun, orang tetap akan bayar.”
Pak Cik Chuah tidak menjawab dengan segera. Sebaliknya dia hanya ketawa kecil.
“Kassim,” katanya, matanya merenung jauh entah ke mana.
“Apabila dah tua, saya sudah tak fikir untung sangat. Saya buka sebab saya mahu berangan mah!”
Pelik. Aku pun mengerutkan dahi. Apa yang lelaki tua ini angankan?
Pak Cik Chuah berhenti sejenak sambil membetulkan cermin matanya yang bertenggek di hidung. Lalu dia keluarkan jam tangan dari poket seluarnya. Tampak antik jam itu.
“Saya selalu berangan. Setiap kali saya terbalikkan jarum jam semasa menservis jam pelanggan, masa pun akan berputar. Saya terfikir, kalaulah saya boleh kembali pada masa anak-anak saya masih kecil. Kalaulah saya tak terlalu sibuk kejar duit. Baiki jam pagi sampai lewat malam. Pergi ke luar pekan cari alat ganti. Kalaulah saya lebih banyak duduk dengan mereka sewaktu mereka masih sayang saya sebagai seorang bapa.”
Rupanya, itu yang Pak Cik Chuah selalu impikan.Tangannya yang penuh berurat itu menggenggam jam tangan itu erat.
“Tapi jarum jam hanya boleh pusing. Dan masa akan terus berjalan tanpa mengira waktu.”
Aku rasa tekak aku mula tersekat. Hembus angin petang terasa berat. Dan tiba-tiba semua jam dinding di kedainya berdetik kuat. Waktu bagaikan sedang mendengar pengakuan lelaki tua itu.
Pak Cik Chuah pun mengangkat wajahnya.
“Kamu tahu tak, Kassim, walaupun saya ini bukan orang Islam. Kawan saya yang Melayu ajar di sekolah dulu. Saya pernah dengar satu ayat dari Quran masa saya kecil dulu. Di dalam kelas mereka selalu baca seingat saya.”
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian.”
Aku terdiam dan kaget mendengar kata-kata lelaki Cina itu.
“Saya ingat lagi ayat itu sampai sekarang. ‘Wal-Asr. Innal insana la fi khusr.’ Itu petikan ayat yang saya hafal hingga saya sudah tua renta.”
Sejujurnya, aku sangat terkejut. Sebabnya, Pak Cik Chuah berjaya membaca petikan Surah Al-‘Asr biarpun bunyinya sedikit pelat.
“Sekarang baru saya faham mah!. Kita semua rugi. Kerja terlalu kuat pun rugi. Terlalu leka pun rugi. Tapi kalau kita gunakan masa tu untuk buat sesuatu yang ikhlas, walau sedikit mungkin kita
taklah rugi sepenuhnya,” penuh semangat lelaki tua itu bercerita.
Aku tidak mampu berkata apa-apa. Hanya memandang lelaki tua itu dengan rasa hormat yang tidak terucap dek kata.
Tatkala kami berdua duduk di atas pangkin itu, tiba-tiba aku terdengar bunyi jam dinding di kedainya mengeluarkan bunyi detikan yang kuat sekali lagi. Kemudian berhenti.
Seolah-olah waktu sendiri sedang berhenti sebentar. Memberi penghormatan kepada Pak Cik Chuah.
Langit petang terbentang seperti halaman kosong. Aku menoleh ke arah Pak Cik Chuah. Fikirannya mungkin sedang mencari di mana anak-anak lelakinya. Mulutnya tidak berhenti memberikan
aku nasihat.
“Kadang-kadang, Kassim,” sambungnya perlahan, “Bila jam berhenti, bukan bermakna ia rosak. Tapi mungkin jam itu sudah cukup menjalankan tugasnya.”
Aku tahu, maksudnya bukan pada jam di dinding. Hakikatnya pada dirinya sendiri. Jam tidak lagi berdetik. Namun dalam setiap detik yang telah berlalu, ada kebaikan yang telah disemai.
Kerana akhirnya, bukan masa yang panjang yang mampu menentukan baik atau buruk kehidupan seseorang. Realitinya, dengan bagaimana seseorang itu memanfaatkan masa kehidupannya di dunia nan fana ini.
Sesungguhnya, itulah ceramah petang yang paling bermanfaat yang pernah kudengar. ‘Terima kasih Pak Cik Chuah,’ desisku dalam kalbu. – UTUSAN










