'Isu pelajar jadi mangsa buli berulang kali dalam tindakan KPM'

‘Isu pelajar jadi mangsa buli berulang kali dalam tindakan KPM’

FADHLINA Sidek (tiga dari kiri) ketika menghadiri Program Temu Rakyat Parlimen Nibong Tebal di Dewan Serbaguna Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang.-UTUSAN/ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengambil maklum mengenai isu seorang pelajar perempuan yang didakwa berulang kali menjadi mangsa buli di sebuah sekolah menengah di Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, perkara itu bagaimanapun sudah berada dalam tindakan pihaknya ketika ini.

“Kita sedang siasat perkara ini kerana aduan itu memang ada. Bagi saya, tindakan segera harus diambil.

“Jadi, Ketua Pengarah Pendidikan (Dr. Mohd. Azam Ahmad) sedang menyiasat dan kita akan ambil tindakan,” kata beliau ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Program Temu Rakyat Parlimen Nibong Tebal di Dewan Serbaguna Sungai Bakap di sini, hari ini.

Fadhlina berkata demikian ketika diminta mengulas satu laporan berita mengenai pelajar perempuan berusia 14 tahun itu yang dikatakan mengalami tekanan emosi yang serius termasuk menunjukkan kecenderungan membunuh diri selepas berulang kali menjadi mangsa buli di sekolah tersebut.

Ibu mangsa, Nurul Afeeza Mohd Tarmedi, 31, mendakwa, anaknya itu pernah beberapa kali menceritakan kejadian dibuli sejak berpindah ke sekolah itu iaitu pada Julai lalu, namun, masalah tersebut tidak pernah selesai walaupun aduan telah dibuat kepada pihak sekolah.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan isu fitnah yang mengaitkan beliau dengan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Sabah pula, Fadhlina memberitahu, kes tersebut sedang dalam tindakan peguamnya.

“Peguam sedang ambil tindakan. Kita dah serahkan pada peguam,” ujarnya ringkas.

Baru-baru ini, Fadhlina membuat laporan polis dan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas beliau didakwa mempunyai kaitan dalam kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir yang tular di media sosial.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×