LANGKAWI: Pelumba lebuh raya berpengalaman negara, Harrif Saleh masih belum mahu memikirkan persaraan walaupun usianya sudah mencecah 37 tahun.
Harrif berkata, jiwanya masih bersama Terengganu Cycling Team (TSG) dan mahu terus menabur bakti sehingga penghujung kariernya bersama pasukan kesayangannya itu.
“Saya tak tahu lagi bila masanya (bersara). Hati saya tetap pada basikal. Mungkin ini penampilan terakhir, mungkin juga tidak, semuanya bergantung kepada pihak pengurusan.
“Apa pun saya terima, tapi selagi boleh kayuh, selagi boleh beri 100 peratus untuk pasukan dan pelumba muda, saya akan terus gunakan pengalaman saya,” katanya.
Harrif yang bakal membuat penampilan ke-16 dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 menolak sebarang spekulasi bakal menyertai pasukan lain pada musim depan.
Bagi edisi kali ini, anak jati Terengganu itu memasang impian besar untuk meraih kemenangan di peringkat ke-4 yang bermula dari Kuala Terengganu ke Kemaman pada 1 Oktober nanti.
“Kalau boleh nak menang di kampung halaman. Bonuslah kalau dapat. Azam itu sudah lama saya tanam, cuma rezeki belum ada lagi. Harap Tuhan permudahkan,” katanya penuh harapan.
Walaupun ramai menyangka usianya bakal menjadi penghalang, Harrif mengambil inspirasi daripada bintang dunia seperti Alexander Kristoff, 38, dan Mark Cavendish, 40, yang masih gah mendominasi saingan elit. – UTUSAN