UK henti kongsi data risikan dengan AS, enggan terlibat serangan di Laut Caribbean

UK henti kongsi data risikan dengan AS, enggan terlibat serangan di Laut Caribbean

PULUHAN pesawat pejuang yang dikerah di USS Gerald R. Ford menambah kuasa tempur ketara kepada pasukan AS berhampiran Laut Caribbean.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: United Kingdom (UK) menghentikan sebahagian perkongsian maklumat perisikan dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai kapal-kapal yang disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah di Caribbean.

UK menegaskan enggan terlibat secara langsung dalam serangan ketenteraan AS dan percaya tindakan tersebut tidak sah di sisi undang-undang, menurut sumber yang dekat dengan perkara itu kepada CNN.

Keputusan itu menandakan perpecahan ketara dengan sekutu terdekat dan rakan kongsi perisikan, serta menekankan keraguan yang semakin meningkat terhadap kesahihan tindakan ketenteraan AS di kawasan Amerika Latin.

Selama bertahun-tahun, UK yang mengawal beberapa wilayah di Caribbean dan menempatkan aset perisiknya di sana sering membantu Washington menjejaki kapal-kapal yang disyaki membawa dadah supaya Pengawal Pantai AS dapat menahan, memeriksa kru dan merampas dadah, menurut sumber itu.

Maklumat perisikan ini biasanya dihantar kepada Pasukan Tugas Bersama Antara Agensi Selatan berpangkalan di Florida dan terdiri daripada wakil beberapa negara bertujuan mengurangkan perdagangan dadah haram.

Namun, selepas Presiden, Donald Trump mula melancarkan serangan maut terhadap kapal-kapal tersebut pada September, UK bimbang AS mungkin menggunakan maklumat perisikan yang diberikan oleh Britain untuk memilih sasaran serangan. 

Pegawai Britain percaya lebih 19 serangan ketenteraan AS yang sudah mengorbankan 76 orang itu melanggar undang-undang antarabangsa.

Pentadbiran Trump mendakwa tenteranya boleh membunuh penyeludup dadah yang disyaki secara sah kerana mereka dianggap mengancam keselamatan rakyat AS dan terlibat dalam konflik bersenjata.

Trump turut menamakan beberapa kartel dadah sebagai kumpulan pengganas asing.

Bagaimanapun, pakar berkata, Undang-Undang Konflik Bersenjata masih terpakai kepada penyeludup dadah awam dan penamaan sesuatu kumpulan sebagai organisasi pengganas asing tidak secara automatik membenarkan penggunaan kekerasan maut. 

Beberapa kapal yang diserang oleh AS dilaporkan sama ada berhenti atau sedang membelok semula ketika diserang, menafikan dakwaan pentadbiran Trump kapal-kapal itu merupakan ancaman segera yang tidak boleh ditangani melalui penahanan dan rampasan.

Selain UK, Kanada juga enggan terlibat dengan serangan ketenteraan itu, malah Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot turut menyatakan kebimbangan terhadap operasi itu.

Presiden Colombia, Gustavo Petro pada Selasa mengarah pasukan keselamatan negaranya menghentikan perkongsian maklumat perisikan dengan agensi keselamatan AS sehingga serangan di Caribbean dihentikan.

Venezuela turut melancarkan kerahan besar-besaran anggota tentera, senjata dan peralatan sebagai tindak balas terhadap pengumpulan kapal perang dan tentera AS di Laut Caribbean.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×