KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengakui pasukan pertahanannya berdepan situasi amat sukar di sekitar Pokrovsk dan Zaporizhzhia berikutan kemaraan tentera Russia di dua kawasan berkenaan.
Komander tertinggi tentera Ukraine, Jeneral Oleksandr Syrskyi berkata, keadaan di barisan hadapan semakin meruncing di beberapa bahagian wilayah tenggara Zaporizhzhia berikutan pertempuran sengit dengan tentera Russia.
“Keadaan bertambah buruk dengan ketara di arah Oleksandrivka dan Huliaipole di mana musuh menggunakan kelebihan bilangan anggota dan kelengkapan untuk mara dalam pertempuran sengit serta menawan tiga penempatan.
“Mereka juga mengambil kesempatan daripada keadaan berkabus untuk menyusup ke kedudukan Ukraine di Zaporizhzhia,” tulis Syrskyi di Telegram.
Russia mendakwa tenteranya mara lebih jauh ke bandar timur Ukraine di Pokrovsk dan Kupiansk dengan satu rakaman video menunjukkan pasukannya menyerbu lokasi berkenaan menggunakan motosikal dan kenderaan yang rosak, situasi yang disamakan pengguna Telegram dengan filem aksi tahun 1979 ‘Mad Max’.
Reuters mengesahkan lokasi rakaman itu berdasarkan susun atur jalan, papan tanda, menara utiliti dan pokok yang sepadan dengan imej satelit kawasan berkenaan, namun tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar rakaman.
Media Russia menyifatkan Pokrovsk sebagai pintu masuk ke Donetsk dan penguasaan bandar itu akan memberi Moscow kedudukan strategik untuk mara ke utara menuju dua bandar utama terakhir yang masih dikuasai Ukraine di wilayah Donetsk iaitu Kramatorsk dan Sloviansk.
Russia mengancam untuk menawan Pokrovsk selama lebih setahun melalui gerakan kepungan dua penjuru bagi menyekat laluan bekalan, berbeza dengan serangan hadapan berdarah yang digunakan ketika menawan bandar Bakhmut pada 2023.
Menurut tentera Ukraine, sekitar 300 tentera Russia kini berada di dalam Pokrovsk dan Moscow meningkatkan usaha membawa masuk lebih ramai anggota tempur sejak beberapa hari lalu.











