TAWILA: Penduduk yang melarikan diri dari bandar al-Fashir mendedahkan pengalaman ngeri menyaksikan serangan berasaskan etnik militan Rapid Support Forces (RSF), yang menyasarkan orang awam kerana suku kaum dan warna kulit mereka.
RSF yang berperang dengan tentera Sudan sejak April 2023 menawan kubu terakhir mereka di Darfur barat pada 26 Oktober lalu.
Sejak itu, laporan mengenai pembunuhan beramai-ramai, keganasan etnik, penculikan dan serangan seksual terus muncul.
Organisasi hak asasi manusia turut menyuarakan kebimbangan mengenai pembunuhan etnik yang sedang berlaku di kawasan dikuasai pasukan separa tentera itu.
Seorang pegawai RSF menafikan tuduhan tersebut dan menyifatkannya sebagai palsu.
KEGANASAN ETNIK
Seorang pelajar universiti, Hassan Osman memberitahu AFP, pasukan RSF menyasarkan individu berdasarkan etnik mereka.
“Mereka menilai anda mengikut suku kaum, warna kulit dan asal-usul keluarga. Jika anda tergolong dalam suku tertentu, mereka akan terus membunuh kamu serta-merta,” katanya.
Hassan merupakan antara mangsa yang terselamat daripada pertempuran di al-Fashir dan kini mencari perlindungan di bandar berdekatan di Tawila.
Dia menyaksikan sepanjang jalan di bandar tersebut dipenuhi dengan mayat semasa melarikan diri.
“Ada yang disembelih, ada yang dimakan anjing,” kata Hassan.
Seorang lagi mangsa terselamat, Amna Haroun berkata, dia menyaksikan anggota RSF menembak mati suami dan anak sulungnya.
“Mereka membunuh mereka tepat di depan mata saya, sambil berkata ‘kami tidak mahu kamu di sini’,” katanya yang merupakan suku Afrika Zaghawa.
Konflik di Sudan mengorbankan puluhan ribu nyawa, mengakibatkan hampir 12 juta orang terpaksa berpindah dan mencetuskan krisis kebuluran.
Kedua-dua pihak dalam konflik itu dituduh melakukan kekejaman sepanjang perang.
Darfur menjadi rumah kepada beberapa kumpulan etnik bukan Arab, termasuk Zaghawa, Fur, Berti dan Masalit yang sejak lama menjadi sasaran kumpulan Arab.
RSF berasal daripada Janjaweed, militan yang kebanyakannya Arab dan pernah dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Darfur dua dekad lalu.
Antara 2003 dan 2008, dianggarkan 300,000 orang terbunuh dan hampir 2.7 juta terpaksa berpindah dalam siri keganasan etnik tersebut.
Menurut Agensi Kesatuan Eropah untuk Suaka, kumpulan bukan Arab atau Afrika mewakili antara dua pertiga dan tiga perempat daripada populasi Darfur.
Zaghawa, kumpulan etnik dominan di al-Fashir, berjuang bersama sejak akhir 2023.
JENAYAH TERHADAP KEMANUSIAAN
Kumpulan tersebut pada awalnya bersifat neutral ketika perang bermula, namun menyokong tentera selepas RSF melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap suku Masalit di El-Geneina, Darfur Barat yang mengorbankan sehingga 15,000 orang.
Hassan berkata, penduduk berkulit gelap, terutama orang awam Zaghawa menjadi sasaran penghinaan kaum serta keganasan fizikal dan psikologi semasa melarikan diri dari al-Fashir.
“Jika berkulit cerah, mereka mungkin melepaskan anda. Ini semata-mata kerana etnik,” katanya.
Dia yang berasal dari suku Berti berkata, dirinya tidak menjadi sasaran keganasan etnik kerana permusuhan utama anggota RSF adalah terhadap Zaghawa, yang menyokong tentera.
Katanya, anggota RSF turut memeras wang orang awam sehingga ratusan dolar untuk membolehkan mereka melepasi kawasan tertentu dengan selamat, berdasarkan identiti suku serta asal-usul keluarga.
“Mereka bertanya dari mana asal keluarga dan menetapkan jumlah bayaran mengikut identiti itu,” katanya.
Seorang pegawai RSF yang berpangkalan di al-Fashir dan enggan dinamakan, menolak sekeras-kerasnya dakwaan pembunuhan tersebut.
“Kami tidak membunuh orang awam atau sesiapa pun kerana mereka tergolong dalam suku tertentu. Ini hanyalah tuduhan palsu,” kata pegawai itu kepada AFP.
Selepas penguasaan al-Fashir, RSF mengeluarkan arahan yang mengarahkan pasukannya untuk mematuhi undang-undang, peraturan dan disiplin ketenteraan semasa perang, termasuk menekankan keperluan untuk melindungi orang awam.
Dalam tempoh itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pemerhati hak asasi manusia melaporkan berlakunya kekejaman secara meluas, termasuk pembunuhan serta penculikan yang didorong oleh etnik.
Pakar PBB terkejut dengan laporan dipercayai mengenai RSF membunuh orang awam di al-Fashir, menyifatkan perbuatan itu sebagai jenayah perang yang boleh dikira sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.
Mereka berkata, serangan itu sama seperti kempen RSF sebelum ini di kem Zamzam berhampiran pada April dan di El-Geneina, di mana ribuan orang terbunuh.
Kumpulan itu disyaki menyasarkan komuniti Fur, Masalit dan Zaghawa dengan niat untuk mengganas, mengusir dan memusnahkan mereka secara keseluruhan atau sebahagiannya.










