Pentagon nafi kerah tentera ke Gaza

Pentagon nafi kerah tentera ke Gaza

PENDUDUK Palestin yang hilang tempat tinggal mendirikan khemah di antara runtuhan bangunan di kem pelarian Bureij di tengah Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Tiada tentera Amerika Syarikat (AS) akan dikerahkan ke Semenanjung Gaza, namun perancangan sedang dijalankan untuk menempatkan pasukan antarabangsa berhampiran wilayah itu.

Pegawai kanan Pentagon menegaskan, laporan dalam media Israel yang mendakwa mengenai kerahan tentera AS di wilayah itu adalah ‘tidak benar’.

“Sebagai organisasi perancangan, anggota tentera AS kini bekerjasama dengan rakan kongsi antaranbangsa untuk membangunkan pilihan penempatan bagi Pasukan Penstabilan Antarabang (ISF) pada masa hadapan.

“Pembentukan ISF akan menyokong Pelan Keamanan Gaza Presiden. Untuk lebih jelas, tiada tentera AS akan dikerahkan ke Gaza, sebarang laporan sebaliknya adalah palsu,” kata pegawai itu.

Media Israel, Ynet dan Shomrim, sebelum ini melaporkan AS merancang membina pangkalan tentera bernilai AS$500 juta (RM2 bilion) berhampiran sempadan Gaza, yang mampu menempatkan beberapa ribu anggotanya.

Akhbar Yedioth Ahronoth memetik pegawai Israel mendakwa, rancangan Washington itu merupakan peningkatan ketara aktiviti AS di Israel.

Projek itu digambarkan sebagai ‘pangkalan tentera AS berskala besar pertama di wilayah Israel’, kononnya menekankan komitmen mendalam Washington terhadap usaha penstabilan pasca perang di Gaza.

Semasa perang dua tahun Tel Aviv di Gaza, AS memasang sistem pertahanan peluru berpandu THAAD yang digunakan untuk memintas peluru berpandu dan dron Iran sepanjang konflik 12 hari dengan Israel, menurut laporan itu.

“Penubuhan pangkalan AS di Israel menunjukkan betapa tekadnya Washington untuk terlibat dalam Gaza dan konflik Israel-Palestin,” kata seorang pegawai rejim kepada akhbar tersebut.

Setakat ini, 200 anggota tentera AS ditempatkan di Pusat Penyelarasan Awam-Tentera (CMCC) yang disokong AS di Kiryat Gat, selatan Israel bagi memantau gencatan senjata.

Menurut pegawai Israel, pusat yang diterajui AS itu dijangka mengambil alih sepenuhnya pengagihan bantuan kemanusiaan di Gaza, selain mekanisme COGAT Israel.

Akhbar tersebut tidak menyatakan lokasi tepat fasiliti yang dirancang, namun berkata, tinjauan sedang dijalankan ke atas tapak yang berpotensi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN