PETALING JAYA: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) telah melaksanakan hampir 20 program dalam tempoh 100 hari sejak pelantikan Ahmad Fauwaz Fadzil sebagai Mufti Wilayah Persekutuan.
Antara program utama yang dilaksanakan termasuk Tausiah Sulung Mufti Wilayah Persekutuan di JMWP yang menekankan konsep rahmah sebagai asas fatwa serta mewujudkan hubungan harmoni warga jabatan.
Selain itu, Ahmad Fauwaz turut menjadi panel dalam Program Pengkaderan Fuqaha Guru Takmir Jakim Peringkat Zon Utara yang bertujuan melatih guru-guru takmir dengan pengisian berkualiti dan menepati keperluan masyarakat.
Beliau juga menyempurnakan perasmian penutup Majlis Muzakarah Pemegang Tauliah Mengajar Agama Islam Wilayah Persekutuan Siri 2/2025 di Masjid Negara, Kuala Lumpur.
JMWP turut menganjurkan pelbagai inisiatif lain seperti Seminar Labur Kripto Mega, Persidangan Meja Bulat Mengenai Pendekatan Pengurangan Kemudaratan: Memperkukuh Kesihatan Awam, Kelestarian Ekonomi dan Nilai Islam serta mewujudkan saluran pertanyaan baharu Fas’aluuna kepada Mufti Wilayah Persekutuan.
Selain itu, program berbentuk wacana dan kerjasama juga diperkukuh melalui Persidangan Komuniti Syariah Jabatan Peguam Negara Malaysia 2025, Program Temu Mesra JMWP bersama Masyarakat serta Mufti Bersama Siswa: Tashih Qira’at al-Turath.
Bagi memperkasakan pendidikan, JMWP melaksanakan Bengkel Pemantapan Program Sarjana Muda Syariah Gunaan, Linguistik & Multimedia (ASLIM), di samping penyertaan Ahmad Fauwaz dalam Persidangan Fatwa Antarabangsa di Mesir pada Ogos 2025.
Turut mendapat sambutan ialah Malam Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza bersempena Karnival Sumud Nusantara 2025 serta penglibatan dalam kempen Malaysia #QuranHour. – UTUSAN










