MEKAH: Ibadah melontar jamrah dalam haji bukan sekadar simbolik semata-mata, sebaliknya mengandungi hikmah besar dalam membentuk umat Islam yang patuh kepada Allah selain menyemai semangat kesepakatan dan toleransi sesama Muslim.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, ibadah itu mengajar jemaah supaya melaksanakan setiap perintah Allah dengan penuh keikhlasan walaupun tidak dapat melihat hikmah secara zahir.
“Melontar ini bukan bermaksud kita nampak syaitan, tetapi ia tanda kepatuhan kepada Allah Taala dan melaksanakan syariat yang ditetapkan.
“Keduanya, ia melatih disiplin dalam kalangan jemaah. Melontar perlu dilakukan dalam keadaan tenang, bukan berebut-rebut sehingga boleh mendatangkan mudarat,” katanya di sini baru-baru ini.
Jemaah kini berada di Mina bagi melaksanakan ibadah melontar jamrah bermula 10 hingga 13 Zulhijjah selepas bergerak dari bermalam di Muzdalifah dan wukuf di Arafah.
Ahmad Fauwaz berkata, suasana di kawasan jamrah turut memperlihatkan kesatuan umat Islam yang mampu bekerjasama walaupun berada dalam himpunan jutaan manusia dari pelbagai negara.
“Ia menunjukkan umat Islam mampu bekerjasama dalam keadaan ramai. Di situ lahirnya kesabaran dan toleransi yang boleh membuatkan orang lain kagum terhadap akhlak umat Islam.
“Melontar bukan perkara mudah, namun apabila umat Islam boleh bekerjasama melaksanakan perkara yang kelihatan sederhana ini, sudah tentu agenda lebih besar juga mampu dilaksanakan secara bersama,” katanya.
Tambah beliau, jemaah turut diingatkan supaya memperbanyak zikir dan bersyukur kepada Allah selepas selesai melontar kerana diberikan kesempatan menyempurnakan salah satu wajib haji.
“Apabila selesai melontar, perbanyakkan zikir kepada Allah sebagai tanda kesyukuran kerana nikmat menunaikan ibadah haji ini sangat besar,” katanya. – UTUSAN










