Cederakan diri tidak selesai masalah – Mufti

Cederakan diri tidak selesai masalah – Mufti

AHMAD FAUWAZ FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan meng­hilangkan tekanan dengan cara mencederakan diri sendiri bukanlah jawapan penyelesaian sebaliknya hanyalah satu bentuk kerosakan dirawat dengan kerosakan lain.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, Islam juga melarang tindakan sedemikian kerana ia jelas berdasarkan sabda Rasulullah SAW dalam mafhum hadis ‘tidak boleh mencederakan diri sendiri atau orang lain’.

“Langkah menghilangkan stres bukanlah dengan cara mencede­rakan diri sendiri kerana ia hanya menyebabkan penyakit dirawat dengan penyakit.

“Nasihat saya, segera berjumpa psikiatri dan menerima rawatan di hospital. Selain itu, amalkan zikir, banyakkan berdoa kepada Allah SWT, sentiasa bertenang dan kuatkan semangat. Ini bukanlah cara yang betul untuk melepaskan bebanan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan tindakan melukakan diri atas alasan meredakan tekanan dalam kalangan remaja semakin membimbangkan apabila perbuatan ekstrem itu bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah, malah berisiko menyebabkan kecede­raan serius.

Perbuatan itu dirujuk sebagai ‘barcode’ kerana pelaku menggunakan objek tajam seperti besi, pengasah pensil, jarum dan sebagainya untuk mengelar anggota badan secara berulang-ulang hingga cedera.

Sementara itu, Penyelidik Akidah, Dr. Mohamad Razif Mohamad Fuad berkata, perbuatan mencederakan diri sendiri adalah ditegah dalam Islam dan boleh mengundang dosa kerana ia jelas mendatangkan keburukan kepada pelakunya.

Jelasnya, ia sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang mafhumnya: ‘Janganlah kamu se­ngaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.’

“Kepada mereka yang terdetik untuk mencederakan diri sendiri, perlu diingat perbuatan itu jelas berdosa. Jangan sesekali mengikut kata hati yang membawa kepada bahaya.

“Jika terasa ada gangguan atau terdengar bisikan, segera berjumpalah dengan pakar psikiatri. Jangan memendam masalah kerana masa depan kita amat berharga,” katanya.

Mohamad Razif berkata, pokok pangkalnya masyarakat perlu mengenal pasti punca masalah mental yang semakin meruncing.­

“Semua lapisan masyarakat yang dekat dengan mangsa se­perti golongan guru, jiran tetangga dan rakan-rakan perlu lebih cakna serta sentiasa menambah baik ilmu berkaitan kesihatan mental kerana simptomnya boleh berlaku di sekeliling kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN