ALOR GAJAH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Tunas Istimewa@KEMAS adalah antara 42 perubahan besar yang membawa impak kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi tahun ini.
Beliau berkata, inisiatif penubuhan tabika tersebut adalah selaras dengan Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) dan termaktub dalam Akta Orang Kurang Upaya (Akta 685).
Katanya, ia adalah hasil keputusan Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri KKDW dan Exco Luar Bandar pada 10 Mei 2024 serta selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beliau berkata, inisiatif tersebut sebagai usaha memartabatkan pendidikan awal kanak-kanak berkeperluan khas di Malaysia, khusus buat kanak-kanak autistik berumur lima dan enam tahun, agar mereka mampu berdikari dan menjalani kehidupan berkualiti.
“Anak-anak istimewa ini jangan dianggap sebagai bebanan tetapi adalah hikmah yang harus kita fikirkan kerana mereka ini adalah anak-anak syurga yang diamanahkan oleh Allah. Sebagai tanda keprihatinan kerajaan tentunya sentiasa mendengar memahami dan bertindak untuk menyaksikan bahawa setiap anak-anak istimewa kita ini diberikan perhatian.
“Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) telah melakukan perkongsian yang bijak dan kita tidak pernah bekerja secara berseorangan, sebaliknya bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat agar Tabika Tunas Istimewa@Kemas menjadi kenyataan,” katanya ketika merasmikan Program Tabika Tunas Istimewa@Kemas di Tabika Kemas Kampung Air Hitam Pantai, Tanjung Bidara di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, penubuhan tabika berkenaan bermula dengan tiga projek perintis di Melaka termasuk Tabika Kemas Hang Jebat (Melaka Tengah) dan Tabika Kemas Merlimau Barat 2 (Jasin).
Menurutnya, program tersebut akan diperluaskan ke seluruh negara dengan pendekatan ‘1 negeri, 1 Tabika’ melibatkan 14 tabika khas dan 196 kanak-kanak. – UTUSAN










