SST lebih membebankan rakyat berbanding GST – Dominic

SST lebih membebankan rakyat berbanding GST – Dominic

DOMINIC LAU HOE CHAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lebih membebankan rakyat berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana kadar yang dikenakan bukan sahaja lebih tinggi, malah melibatkan pertindihan sehingga mencecah hampir 18 peratus.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, data terkini yang diumumkan Kementerian Kewangan mengesahkan pelaksanaan SST lebih menekan rakyat biasa berbanding GST sebelum ini.

“Walaupun pada masa ini barangan yang dikecualikan cukai mencecah 1,826 jenis iaitu lebih banyak berbanding 607 jenis di bawah GST, namun Perdana Menteri memilih untuk mengelak daripada menjawab isu utama iaitu di bawah GST, kesemua 10,835 jenis barangan dikenakan kadar cukai tetap enam peratus.

“Namun, dalam 9,616 jenis barangan yang dikenakan cukai jualan SST, sebanyak 5,059 jenis dikenakan kadar lima peratus manakala 4,557 jenis lagi dikenakan kadar 10 peratus. 

“Sebaliknya, di bawah GST, kesemua 10,835 jenis barangan dikenakan kadar cukai tetap peratus. Perbandingan ini jelas menunjukkan SST mengenakan cukai pada kadar lebih tinggi dan skop yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dominic berkata, di bawah SST terdapat barangan yang mengalami pertindihan cukai sekali gus menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan meningkat.

Katanya, kerajaan sendiri mengakui perkara itu dalam Laporan Kajian Semula Belanjawan 2024 dan SST sebenarnya merangkumi dua jenis cukai berbeza iaitu cukai jualan maksimum 10 peratus serta cukai perkhidmatan maksimum lapan peratus.

“Jika makan di hotel atau restoran, selain perlu membayar cukai jualan 10 peratus, pelanggan juga dikenakan cukai perkhidmatan antara enam hingga lapan peratus, menjadikan jumlah cukai mencecah 18 peratus.

“Lebih-lebih lagi, jika menyewa penapis air secara bulanan, adakah juga perlu membayar cukai jualan 10 peratus dan cukai perkhidmatan lapan peratus?,” katanya.

Dominic berkata, kerajaan berani mengunjurkan kutipan cukai SST pada 2025 mencecah RM51.7 bilion dan meningkat kepada RM56.7 bilion pada 2026 kerana menggunakan cara halus untuk mengenakan cukai secara tidak langsung.

Katanya, hakikat itu menunjukkan golongan yang paling terpaksa membayar cukai ialah rakyat biasa daripada kelompok berpendapatan rendah dan sederhana.

“Kerajaan sebelum ini mendakwa hanya akan mengenakan cukai kepada golongan maha kaya dan seterusnya mengembalikan hasil cukai itu kepada golongan miskin.

“Namun, kerajaan membatalkan cukai barangan mewah ke atas golongan kaya, malah mengecualikan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penyewaan kapal dan pesawat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN