PETALING JAYA: Skuad ragbi bawah 20 (B-20) negara muncul pasukan ketiga terbaik pada Kejohanan Ragbi Asia bawah 20 (B-20) tujuh sebelah (7s) selepas menewaskan China 19-7 dalam aksi penentuan tempat ketiga di Bihar, India, hari ini.
Ketua jurulatih negara, Syed Shazril Syed Mahadzir berkata, dia tetap berpuas hati dengan pencapaian anak-anak buahnya yang sebelum ini diletakkan sasaran untuk muncul empat pasukan terbaik kejohanan.
“Syukur alhamdulillah. Kita berjaya dapat gangsa kejohanan edisi kali ini disebalik pahit manisnya tetap ada. Walaupun pada mulanya sasaran kami nak melepasi empat pasukan terbaik tapi alang-alang kami mahu buat sehabis baik.
“Ini kerana banyak liku-liku yang perlu kami tempuhi. Apa salahnya kita habiskan kejohanan ini dengan sedikit kemanisan. Terima kasih kepada semua pihak terutamanya Malaysia Ragbi (MR) di atas peluang yang diberikan,” katanya.
Sebagai rekod, Malaysia muncul naib juara edisi 2023 selepas tewas kepada Hong Kong 19-14 bagaimanapun kejohanan itu tidak dianjurkan pada tahun lalu. – UTUSAN