Ternakan babi, kumbahan punca utama pencemaran sungai

Ternakan babi, kumbahan punca utama pencemaran sungai

ARTHUR JOSEPH KURUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aktiviti ternakan babi dan sistem pengolahan kumbahan antara penyumbang utama beban pencemaran air sungai di negara ini berdasarkan analisis Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi tempoh 2020 hingga 2024.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, trend beban pencemaran daripada kedua-dua sumber tersebut didapati kekal konsisten serta menyumbang peratusan besar kepada jumlah keseluruhan beban pencemaran air sungai di negara ini.

“Sebanyak 33 daripada 672 sungai yang dipantau pada tahun 2025 dikategorikan sebagai tercemar.

“Bagaimanapun, tiada sungai direkodkan berada dalam Kelas V iaitu Nilai Indeks Kualiti Air (IKA) kurang 31.0 sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai jumlah sungai yang diklasifikasikan sebagai tercemar dan kritikal setakat ini dan dan mengapakah insiden pencemaran sungai masih berulang di lokasi yang sama walaupun tindakan penguatkuasaan telah diambil sebelum ini.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui JAS sentiasa peka terhadap alam sekitar dan kualiti air sungai melalui pelaksanaan pengawasan berterusan di 1,353 stesen pengawasan kualiti air sungai secara manual serta 30 stesen pengawasan kualiti air sungai automatik di seluruh negara.

Katanya, insiden pencemaran sungai di negara ini masih berulang walaupun tindakan penguatkuasaan telah diambil disebabkan beberapa fakto.

“Ia termasuk peningkatan populasi serta kepesatan pembangunan industri dan ekonomi yang secara langsung menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai.

“Kurangnya kesedaran dan tanggungjawab pengusaha kilang serta industri turut mendorong kepada pelanggaran undang-undang selain pelupusan sisa secara haram tanpa memikirkan impak negatif terhadap alam sekitar dan kesihatan masyarakat setempat,” katanya.

Tambah beliau, NRES melalui JAS akan terus komited dalam memantau serta menguatkuasakan peraturan berkaitan bagi mencegah pencemaran alam sekitar.

“Isu pencemaran sungai di negara ini perlu ditangani secara holistik melalui tindakan penguatkuasaan bersepadu antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi meningkatkan kualiti air sungai serta menangani masalah pencemaran secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN